HYEME dikatakan mahu bersara daripada industri hiburan.
HYEME dikatakan mahu bersara daripada industri hiburan.

ANNYEONGHASEYO!

Perihal berkahwin dan menjalin hubungan cinta dalam kalangan artis Korea Selatan sememangnya sangat dititikberatkan agensi mereka.

Hakikatnya, syarat itu antara yang termaktub untuk dipatuhi sebaik menandatangani kontrak.

Justeru, dakwaan mengenai penyanyi, Hyeme pernah berkahwin secara senyap sebelum ini menjadi perhatian serius bekas agensinya DR Music.

Bekas anggota Rania dan Black Swan itu ternyata melanggar kontrak sekiranya perkara itu benar.

Ia tercetus selepas SBS melaporkan seorang lelaki berusia 30-an didakwa memfailkan cerai terhadap penyanyi itu di bandar Uijeongbu awal bulan ini.

Laporan menyatakan Hyeme pernah berkahwin secara sah dengan lelaki itu pada Jun tahun lalu.

Justeru, ia menjadi isu serius kerana Hyeme cuma diperkenal sebagai anggota Black Swan pada Oktober tahun lalu. Bagaimanapun, masalah timbul kerana penyanyi itu gagal dihubungi agensi Dr Music.

"Kontrak eksklusif kami bersama Hyeme sudah berakhir dan sekarang memang tidak dapat berhubung dengannya. Ini adalah pertama kali kami mendengar mengenai perkahwinan dan perceraian Hyeme.

"Jika kami tahu dia memang sudah berkahwin, dia memang tidak akan boleh menyertai Black Swan. Daripada pendirian kami, kami dalam situasi boleh menuntut ganti rugi daripada Hyeme," kata agensi itu.

Walaupun masih dalam teka-teki, hal mengenai perceraian itu memang disahkan sendiri peguam mewakili lelaki yang menuntut cerai berkenaan.

Menurutnya, proses itu bagaimanapun perlu dirahsiakan buat masa sekarang.

"Ya, memang benar dia dalam proses untuk failkan cerai. Namun, kami berdepan kesulitan untuk mendedahkan maklumat secara terperinci," katanya.

Selepas diperkenalkan sebagai anggota Rania pada 2015, Hyeme kemudian menyertai Black Swan tahun lalu.

Pada bulan sama, seorang lelaki tampil membuat tuduhan menjadi mangsa penipuan penyanyi itu sebanyak RM191,000.

Ketika itu, DR Music menegaskan wang berkenaan diberikan secara rela hati oleh individu terbabit kepada Hyeme.

Agensi terbabit turut mendedahkan penyanyi itu juga memang ada minta meminjam RM19,000 daripadanya.

Kemudian, agensi itu mengumumkan bahawa Hyeme memutuskan untuk berundur daripada kumpulan terbabit.

Mereka menjelaskan kontraknya sudah tamat selepas Black Swan tampil mempromosi lagu pengenalan mereka.

Ia diikuti dengan pengumuman peribadi Hyeme yang mengatakan dia mahu bersara daripada industri hiburan.

Menurutnya, keputusan itu juga berikutan penamatan kontraknya dan berjanji mahu terus menyokong anggota lain kumpulan itu dari jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:30 AM