DIDIE akui risau dengan penularan Covid-19 ketika ini.
DIDIE akui risau dengan penularan Covid-19 ketika ini.
Ridzuan Abdul Rahman


PENULARAN Covid-19 dalam negara yang belum mampu dibendung ketika ini amat membimbangkan. Apatah lagi, setiap hari dilaporkan angka jangkitan semakin bertambah termasuk pesakit yang meninggal dunia.

Ternyata kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 cukup memilukan. Sesiapa saja yang melaluinya pasti trauma berikutan tidak dapat bersama mereka pada akhir hayatnya.

Bagi pelakon, pelawak dan pengacara popular, Didie Alias, 49, kini dia hanya mampu berdoa kepada Allah untuk perlindungan dirinya dan seluruh ahli keluarga.

Malah, katanya dia juga memastikan prosedur operasi standard (SOP) disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diikut dengan sebaiknya.

"Jujur saya akui trauma dengan situasi Covid-19 yang berlaku ketika ini. Jadi, takut dibuatnya berikutan saya juga sudah kehilangan lima ahli keluarga rapat terdiri daripada ibu saudara, nenek saudara, bekas abang ipar dan dua sepupu yang meninggal dunia kerana wabak ini.

"Kalau ikutkan rasa hati, saya juga tak nak keluar rumah untuk pergi ke mana-mana. Tapi, tak boleh juga sebab saya perlu keluar bekerja untuk menyambung aktiviti penggambaran drama yang tertangguh sebelum ini.

"Perasaan saya memang trauma. Apatah lagi, setiap kali nak keluar rumah pasti akan berasa risau walaupun untuk pergi ke pasar raya membeli barangan keperluan dapur. Begitu juga menyelesaikan urusan penting," katanya.

Didie juga berkata, dia kini bimbangkan keselamatan ibunya yang tinggal bersama adik di kampung di Melaka. Katanya, sudah lama dia tidak bertemu ibu tersayang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

"Dah lama saya tak balik kampung jenguk emak dan risau juga mengenai keselamatannya. Saya hanya mampu menghubunginya dan selalu berpesan supaya berhati-hati dan jangan selalu keluar rumah.

"Malah, di rumah pula saya bimbangkan seorang anak saya yang bekerja di luar. Tapi, apabila dia balik rumah, saya pastikan dia mandi dan bersihkan diri segera. Bagi saya, dalam keadaan sekarang kena selalu peka," katanya.

Berbicara mengenai kerjaya, Didie berkata dia akan kembali ke set penggambaran drama Cukup Derita Itu tidak lama lagi. Katanya, dia akan lebih berhati-hati demi keselamatan kesihatan seluruh ahli keluarga terutama anak-anak dan cucunya.

Selain itu, Didie juga mengingatkan orang ramai untuk mengambil vaksin yang disediakan kerajaan. Katanya, dalam keadaan sekarang hanya vaksin dapat membantu kita semua sebagai langkah pencegahan.

"Apapun, pada ketika ini kita kena sentiasa menjaga diri. Justeru, saya menyeru pergi ambil vaksin sekiranya sudah mendapat tarikh dan masa temu janji.

"Untuk saya, sekarang menunggu tarikh temu janji untuk suntikan vaksin dos kedua. Ia penting kerana saya pun dah nak kena keluar bekerja semula," katanya.

Didie berkata, dia juga akan memastikan menjaga jarak fizikal, tidak bersalaman atau bersentuhan serta sentiasa mencuci tangan. Katanya, segala langkah pencegahan ini kita yang perlu melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:23 AM