Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Ayda Jebat tidak melatah atau marah apabila seorang pengguna Twitter tidak berpuas hati melihat wajahnya terpapar di kebanyakan iklan di Malaysia.

"Naik menyampah pula semua iklan Malaysia ini memang kena ada Ayda Jebat ke?," tulis pengguna Twitter terbabit.

Tidak melenting dengan komen itu, Ayda bagaimanapun menganggap segala nikmat yang diperoleh adalah rezeki yang Tuhan anugerahkan.

"Rezeki saya, rezeki awak belum tahu lagi, mungkin lebih daripada saya. Awak je tak nampak. Relaks, kalau tak suka langkau je tau. Awak menyampah tapi orang lain dan klien (pelanggan) suka. Jangan toksik sangat," tulisnya.

Menerusi ciapan yang dimuat naik itu, rata-rata bersetuju dengan jawapan yang diberikan Ayda dan meminta penyanyi dan pelakon itu mengabaikan komen daripada 'haters' terbabit.

Dalam pada itu, Ayda yang kini berbadan dua dijangka melahirkan cahaya mata pertama pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:43 PM