Jasmin Hamid
Jasmin Hamid
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Jasmin Hamid menempelak sikap segelintir individu yang mempersoalkan tindakannya mempromosikan drama lakonan dan isu semasa di Instagram.

Jasmin berkata, dia tidak faham kenapa tindakannya itu dikatakan 'mengotorkan' Instagram miliknya dan menyakitkan mata pengikutnya (followers).

"Kotor? Sakit mata? Media sosial saya kotor, banyak sampah. Salahkah bila saya promosi drama lakonan saya dan juga isu semasa di media sosial sendiri?

"Anda lainlah 'followers' berjuta. Anda ada kereta dan rumah mewah, 'job' besar, semuanya hebat. Cantiklah kalau muat naik dan hebahkan di media sosial. Itu hak anda. Jangan khuatir sebab saya takkan kotorkan media sosial media anda dengan gambar saya.

"Ambil gambar dengan saya pun tak perlu sebab gambar itu pun nanti cuma akan dimuat naik masa hari mati saya saja dengan bacaan al-Fatihah. Itupun kalau ada gambar sayalah. Muat naik semula pun tak perlu. Nanti kotor pula media sosial anda yang cantik tu," katanya.

Menurut Jasmin yang kini menjadi bualan hangat menerusi watak Mak Ngah dalam drama bersiri Cukup Derita Itu di TV3, menjadi tanggungjawabnya sebagai pelakon untuk mempromosikan setiap drama dan karya yang dilakonkan.

"Saya cuma semut merah. Tak punya apa-apa. Kalau ada pun, saya takkan pamerkan harta dunia. Saya cuma nak pamerkan kerja-kerja saya sebagai pelakon dan kadangkala isu semasa sebagai rakyat Malaysia.

"Walaupun media sosial saya tak ada jutaan 'followers', saya tetap sayang dan hargai penyokong saya. Sebab itu saya kongsi drama saya dan isu semasa dengan mereka. Kerana mereka saya kuatkan semangat untuk terus berjuang dalam dunia seni. Adakalanya saya tolong promosikan drama atau filem sahabat-sahabat saya," katanya.

Jasmin berkata, pelakon popular antarabangsa yang memiliki jutaan pengikut di Instagram juga mempromosikan drama dan filem lakonan mereka di media sosial.

"Kita ini cuma artis Malaysia, celah gigi mereka saja. Jadi, tak perlulah nak mendabik dada dengan kemasyhuran yang Allah pinjamkan itu. Penerbit atau stesen TV minta tolong promosikan drama lakonan sendiri pun, ada yang berkira. Lagipun kemudahan ada di hujung jari, jadi gunakanlah dengan bijak," katanya.

Dalam masa sama, Jasmin meninggalkan pesan supaya jangan mengikutinya di Instagram jika tidak suka dengan apa yang dikongsikan.

"Semoga perkara baik yang saya kongsi dengan penyokong dan dijadikan amalan, Allah akan berikan ganjaran buat saya kelak.

"Kalau tak suka dengan apa yang saya kongsi, 'unfollow' atau lupakan saya. Itu lebih baik. Hidup ini macam roda, berputar. Kita tidak akan sentiasa berada di atas. Hendaknya pada mereka yang lupa bersyukur dengan nikmat dan rezeki Allah. Allah boleh beri dan tarik nikmat-Nya pada bila-bila masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 12:23 PM