Petikan babak dalam J2: J Retribusi lakonan Zul Ariffin dan Allahyarham Ashraf Sinclair.
Petikan babak dalam J2: J Retribusi lakonan Zul Ariffin dan Allahyarham Ashraf Sinclair.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Sejarah buat filem aksi pertama Malaysia tahun ini iaitu filem Filem J2: J Retribusi apabila berjaya menembusi pasaran Brunei, hari ini.

Filem yang sebelumnya ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar pada 1 Jun lalu kini menemui peminat di lapan pawagam di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Brunei adalah negara pertama yang menayangkan filem tempatan itu.

"Industri filem dan pawagam kini berhadapan dengan cabaran paling getir ketika pandemik Covid-19 masih berleluasa. Ia penting untuk kami menyusun strategi dan mencari peluang untuk terus berhubung dengan penonton, sama ada di dalam mahu pun luar negara. Tayangan filem ini dimulakan menerusi pelantar penstriman Disney+ Hotstar Malaysia pada 1 Jun lalu dan di Indonesia pada 2 Julai ini.

"Kini, Brunei adalah negara pertama yang menayangkan J2: J Retribusi di lapan pawagam di sana. Kami amat teruja dengan kerjasama strategik ini dan mengharapkan sambutan yang positif dalam kalangan peminat filem aksi di sana," katanya.

J2: J Retribusi adalah sekuel filem J Revolusi yang ditayangkan pada 2017.

Ia menampilkan dua pengarah berpengalaman dalam filem aksi iaitu Nazrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah dengan gandingan bersama penulis skrip hebat iaitu Alfie Palermo, Azhar Amirulhisyam dan Anwari.

Filem ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Zul Ariffin, Amelia Henderson, Allahyarham Ashraf Sinclair, Datuk Rosyam Nor, Ainin Batrisya dan pelakon dari China, Chen Yi Ming.

Filem ini mengisahkan Jay Zulkarnain (Zul Ariffin), seorang bekas ketua pegawai Unit Tindakhas (UTK) yang kini menjadi pengawal peribadi kepada usahawan terkenal Datuk Hashim (Rosyam Nor), melawan masa untuk menyelamatkan beliau dan anaknya Nadi (Ainin Batrisya) daripada sekumpulan penjenayah yang diketuai Taufiq (Allahyarham Ashraf Sinclair).

Jay menjadi harapan mereka untuk menentang penjenayah bersama Chang (Chen Yi Ming) juga pengawal peribadi dengan pengurus hotel, Amy (Amelia Henderson) untuk memastikan semua tebusan dalam keadaan selamat.

Penggambaran J2: J Retribusi dijalankan pada 2019 di Johor Bahru, Johor. Filem Ini adalah gandingan pertama bagi Zul Ariffin dan Allahyarham Ashraf, masing-masing memegang watak utama dan antagonis. Sejak ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar Malaysia, filem ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Menerusi tinjauan di media sosial, rata-ratanya menyukai jalan penceritaan dan juga babak pertarungan yang padat dapat ditonjolkan di dalam filem ini setanding dengan filem luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 12:53 PM