DARI kiri, Rika, Lela dan Raja.
DARI kiri, Rika, Lela dan Raja.
Sudirman Mohd Tahir

KEMUNCULAN beberapa 'band girl' atau kumpulan wanita memberi warna baharu dalam industri muzik tanah air. Apatah lagi genre dan lagu yang diketengahkan segar dan mesra telinga.

Terbaharu, kemunculan kumpulan Nona yang dianggotai tiga wanita adalah anak didik kepada pasangan penyanyi terkenal, Stacy dan Akim Ahmad di bawah syarikat rakaman mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment.

Dianggotai oleh Raja Nuraizureen Raja Azahari, 25, (Nona Raja), Low Kar Yee Angela, 26, (Nona Lela) dan Erika Rianty Anthony, 21, (Nona Rika), Nona satu lagi bukti semangat dan kualiti yang dihasilkan pasangan suami isteri itu.

Sebagai pengenalan, Nona muncul dengan single Kasuari dan video muzik rasmi lagu hasil ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik serta lirik oleh Bunga Cantik itu sudah dilancarkan sejak 21 Mei lalu.

Bagi Nona Raja, bersatu menjadi satu kumpulan memberikan peluang buat dirinya saling mengenali anggota lain.

"Saya memang penari. Dari kecil sampai besar tak terfikir nak menjadi penyanyi. Apabila diberi peluang saya cuba fokus dengan bidang baru ini. Apabila membuat latihan setiap hari sejak Oktober tahun lalu, kami dapat mengenali antara satu sama lain.

"Dari situ tahu perangai dan kemampuan masing-masing. Kami saling membantu mana kelemahan dan kelebihan. Diakui ada turun dan naik, tapi ia buat kami bersatu menjadi satu pasukan," katanya.

Nona Lela pula menyifatkan pembabitan dalam Nona adalah rezeki terpijak buat dirinya.

"Saya pramugari tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang terkesan sebab tidak ada gaji. Kiranya, Nona adalah rezeki PKP apabila Kak Stacy menawarkan untuk terbabit dalam Nona.

NONA optimis memberikan saingan secara sihat.
NONA optimis memberikan saingan secara sihat.

"Saya anggap ada harapan baru. Lagi pula, saya pun memang minat menari dan menyanyi. Saya ambil peluang ini untuk buka buku baru. Walaupun tidak ada pengalaman luas, saya ambil sebagai rezeki dan terima cabaran ini," katanya.

Nona Rika juga berharap kemunculan Nona dalam industri muzik tempatan dapat dterima baik.

"Saya percaya, setiap daripada kami ada kelebihan masing-masing. Disebabkan itu, pihak pengurusan berjaya menyatukan kami menjadi sebuah kumpulan. Malah, menerusi single pertama ini, kami berharap peminat dapat memberi sokongan dan terima muzik yang dibawa.

"Sebagai orang baharu, tentu saja kami perlukan sokongan. Namun, kami juga bersedia untuk sebarang kritikan yang membina," katanya.

Diminta mengulas kemunculan mereka yang dikatakan bakal memberi saingan kepada 'band girl' Dolla, Rika mewakili anggota kumpulan berkata, mereka cuba memberi yang terbaik.

"Bagi kami tidak timbul soal nak bersaing. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Mereka (Dolla) sudah ada peminat tersendiri, sementara kami masih baharu lagi. Apa yang diharapkan adalah sokongan daripada semua pihak.

"Malah menerusi single pertama ini, ia adalah peluang untuk kami menonjolkan bakat yang ada selain ingin memberi yang terbaik. Kami juga percaya peminat muzik mempunyai cita rasa berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:20 AM