CINDERELLA lagu taruhan kumpulan dianggotai enam wanita jelita.
CINDERELLA lagu taruhan kumpulan dianggotai enam wanita jelita.
Najiy Jefri


MEMPERKENALKAN kumpulan yang diwakili enam wanita jelita sebagai Wandted, masing-masing begitu optimis untuk menempa nama dalam persada dunia hiburan.

Bukan mahu menyaingi mana-mana kumpulan terutama Dolla, tetapi Wandted mahu memberi pilihan kepada khalayak pendengar.

Aela selaku wakil Wandted berkata, melihat kejayaan lagu K-Pop yang diterima baik dan dibawakan beberapa kumpulan wanita muda, mereka juga ingin mengambil langkah sama.

"Cita rasa peminat muzik berbeza, jadi kenapa tidak kita berikan pilihan apatah lagi menawarkan genre M-pop yang berpaksikan alur irama kegilaan generasi masa kini dari Korea Selatan.

"Negara itu melahirkan banyak kumpulan K-pop popular hingga mampu tembusi pasaran antarabangsa, sekali gus kami yakin M-pop juga mampu berkembang pesat.

"Melihat pencapaian bintang K-pop, Wandted juga menyahut cabaran melalui sesi latihan jitu selama dua tahun supaya lebih bersedia untuk debut kami ini. Penantian itu berbaloi," tambahnya.

Sebagai persediaan untuk mencuba nasib dalam dunia nyanyian, kumpulan ini melalui latihan intensif seperti kelas vokal dan tarian .

ANGGOTA Wandted mempunyai pelbagai latar belakang.
ANGGOTA Wandted mempunyai pelbagai latar belakang.

Mempertaruhkan single berjudul Cinderella, Aela, Bell, Rae, Ann, Rika dan Deanna yang tampil dengan genre M-pop turut mahu memperkenalkan imej tersendiri.

Aela mendedahkan setiap ahli Wandted melalui tapisan ketat sebelum diserap sebagai ahli sekitar 2020 seterusnya menyertai kem latihan di bawah bimbingan profesional.

"Masing-masing ada latar belakang di bidang seni selain asas vokal serta tarian dan digabungkan dalam Wandted yang sememangnya landasan untuk kami memperjuangkan muzik M-pop.

"Namun asas saja tidak mencukupi, jadi latihan serta persediaan dua tahun termasuk vokal, tarian, komunikasi, penjagaan imej serta aspek utama lain membolehkan kami 'masuk' industri dengan bermodalkan ilmu.

"Single Cinderella ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh menjadi sandaran memperkenalkan Wandted di arena muzik tempatan," katanya.

Bercerita lanjut mengenai Cinderella yang dilancarkan baru-baru ini, Rae selaku 'rapper' dalam kumpulan mengakui teruja dengan maklum balas pemerhati muzik.

Rata-rata memberi maklum balas positif kepada lagu serta video muzik yang menonjolkan kekuatan dalaman serta pemerkasaan wanita seperti dalam lirik.

"Cinderella istimewa apabila mempunyai kekuatan dari segi alunan instrumen yang menggambarkan konsep 'fairytale' bertepatan dengan tajuknya.

"Secara tidak langsung kami mengangkat tema pemerkasaan wanita walau berada dalam mana-mana situasi. Irama serta seni kata 'catchy' menyuntik semangat buat pendengar," ulasnya yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sarawak.

Bagi seorang lagi tunjang Wandted, Rika yang pernah menjadi protege Stacy dalam Mentor Milenia, peluang serta kepercayaan diberi syarikat pengurusan Echovibes Communications dan Civicas Networks tidak mungkin disia-siakan.

"Istimewanya Wandted gabungan enam anggota yang agak jarang dilihat kerana kebiasaannya kumpulan seperti ini antara empat dan lima orang saja.

"Ini semua cetusan idea syarikat pengurusan yang menaruh keyakinan tinggi terhadap formula 'the more the merrier' terutama membabitkan grup berpaksikan nyanyian dan tarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:30 AM