Noraniza Azmi

DRAMA Cukup Derita Itu 2 yang kini sedang ditayangkan di TV3 menerusi slot Samarinda kian menjadi bualan penonton. Drama penuh emosi karya Siti Rosmizah ini diarahkan oleh Along Kamaludin dan diterajui oleh Hisyam Hamid, Ruhainies dan Chacha Maembong. 

Malah, barisan pelakon handalan tanah air seperti Jasmin Hamid, Didie Alias, Fahrin Ahmad, Farhan Asri, Lia Natalia, Mubarak Majid, Hafidzuddin Fazil, Rosnah Johari, Dian P. Ramlee, Balkisyh Semundur Khan turut mewarnai penceritaan drama ini. 

Sinopsis Cukup Derita Itu 2

Ellani (Ruhainies) telah bernikah dengan Zarul (Hisyam Hamid) walaupun Ellani tidak mempunyai perasaan cinta terhadap lelaki yang hampir menikahi kakak kembarnya, Ellana (Chacha Maembong). 

Sejak kecil, Ellani dan Ellana yang dibesarkan oleh ibu saudara mereka, Mak Ngah Gayah (Jasmin Hamid) tidak menerima layanan yang sama. 

Ellana dilayan bagaikan puteri manakala Ellani dilayan seperti hamba. Hanya Datin Mahani dan Salwa yang menjadi tempat Ellani menagih kasih sayang dan simpati. 

Konflik timbul apabila Zarul yang sepatutnya menikahi Ellana berubah hati selepas terbabit dalam kemalangan. 

Image

Zarul telah hilang ingatan sekali gus  tidak mempunyai perasaan cinta terhadap Ellana. Malahan, Zarul hanya sayangkan Ellani dan memutuskan untuk mengahwini Ellani. 

Lantaran itu, Ellana meninggalkan Zarul untuk menyambung pelajaran di luar negara. Mak Ngah Gayah pula menjadi lumpuh selepas kemalangan itu. Ellana dan Mak Ngah Gayah berdendam dan berjanji akan merosakkan perkahwinan Zarul dan Ellani. 

Sikap dan kasih sayang Zarul akhirnya membuka hati Ellani untuk menyayangi lelaki yang sudah bergelar suami dalam hidupnya.

Selepas Ellana kembali dari luar negara, dia mula bertindak untuk merampas semula Zarul untuk memastikan Ellani menderita dalam hidupnya. 

Pada masa sama, Amirul (Farhan Asri) kini mendapati dirinya sudah jatuh cinta kepada Ellani. Namun, dia tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan Ellani kini sudah menjadi isteri abangnya. 

Bagaimanakah pengakhiran kisah cinta Zarul dan Ellani? Mampukah mereka mempertahankan rumah tangga mereka? 

Jadi, teruskan menonton Cukup Derita Itu 2, sebuah karya daripada Siti Rosmizah setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Samarinda di TV3 dan perkhidmatan penstriman iQiyi. 

Drama bersiri ini akan tersedia sejam kemudian pada hari yang sama di seluruh Malaysia. Ia juga disertakan dengan sari kata dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQiyi di App Store dan Play Store. 

Pelanggan VIP akan dapat mengakses kemudahan VIP Express iQiyi bagi drama Cukup Derita Itu 2 yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton 24 jam selepas tayangan di TV3.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, laman sosial Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan TikTok iaitu @iQiyiMalaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:07 PM