KEGIGIHAN petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab menyelamat pesakit Covid-19.
KEGIGIHAN petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab menyelamat pesakit Covid-19.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Syabas TV3 terutama sekali kepada pasukan produksi Majalah 3. Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan. Diharap kita dapat mendidik ahli keluarga melalui video ini."

Itu antara komen penonton di laman YouTube TV3 mengenai liputan khas Kita Masih Belum Menang yang menjentik hati ramai masyarakat ketika menyaksikan program dokumentari Majalah 3, semalam dan dimuat naik di laman YouTube.  

Liputan eksklusif Majalah 3 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan Hospital Sungai Buloh itu memaparkan petugas barisan hadapan yang sedang berjuang untuk menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19. 

Difahamkan Majalah 3 diberi peluang membuat liputan eksklusif di PKRC MAEPS seminggu sebelum umat Islam di negara ini meraikan Aidilfitri. 

Ia susulan ramai rakyat Malaysia sudah mula tidak ambil peduli mengenai kenaikan kes positif Covid-19 secara mengejut. 

Ketika program terbabit ditayangkan TV3, Majalah 3 dilihat menduduki carta 'trending' di Twitter. Rata-rata penonton meluahkan rasa sedih dan terharu dengan semangat dan kekuatan yang dimiliki petugas barisan hadapan selepas hampir dua tahun bekerja siang dan malam demi berjuang menentang wabak ini. 

Lebih menyedihkan, dokumentari khas itu turut memberi keinsafan kepada penonton apabila ada yang menangis saat menyaksikan video salah seorang pesakit Covid-19 yang nazak sebelum meninggal dunia. 

"Menitik air mata, hanya mampu berdoa semoga Allah SWT memberi mereka segala kemudahan, dilindungi dan segala rahmat dan juga diberkati atas segala usaha yg tidak pernah kenal penat lelah putus asa," tulis pemilik akaun Ms Red. 

Sementara itu, seorang pengguna di Youtube mengakui air matanya terus mengalir ketika menyaksikan video terbabit yang dianggap cukup berbekas di hati. 

"Sepanjang tengok video ini aku menangis. Tak tahu kenapa sebak sangat.

"Rasa terharu, syukur, sebak dan macam-macam perasaan. Kalaulah petugas barisan hadapan ini tak kuat, tak tahu apa yang terjadi pada rakyat Malaysia.

"Bahagian paling sedih ketika di Unit Rawatan Rapi (ICU), terkenang anak aku masa dekat situ. Bunyi mesin Ya Allah, semoga Allah beri kekuatan pada kita semua," tulis Roslinda A Razak.  

Dalam pada itu, rakaman tembual bersama jururawat ICU Hospital Sungai Buloh, Jennifer Asha Clement, membuatkan ramai yang gagal menahan sebak saat melihat dia menangis dan meminta ruang untuk bertenang.

"Kita tidak fikir bangsa, agama. Bila pesakit meninggal, kitalah orang paling lama (dan terakhir) memegang (tangannya)," katanya yang gagal menahan air mata dalam video itu.

Setakat ini paparan khas itu sudah menerima lebih 150,000 tontonan dan 600 komen ditinggalkan pengguna YouTube. Malah, beberapa klip video dari rakaman terbabit turut disiarkan oleh beberapa akaun di Instagram sehingga menjadi tular.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:31 PM