Samadi Ahmad

Putrajaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri meluahkan rasa sebak dan sayu ketika bertemu dengan petugas barisan hadapan dan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) semalam.

Melalui perkongsian dimuat naik di Facebooknya Zulkifli berkata, nampak jelas keletihan di raut wajah petugas barisan hadapan, namun terselit kegembiraan apabila pihaknya bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) menyampaikan sumbangan makanan.

Ketika lawatan beliau sempat berjumpa dengan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di PKRC itu dan menyampaikan sedikit kata-kata motivasi.

Zulkifli berkata, ujian paling besar adalah apabila kita ditimpa musibah seperti ini dan perkara pertama sebagai seorang Islam kita hendaklah sentiasa menginsafi diri, menggunakan masa sebaik mungkin serta meningkatkan kesabaran kepada Allah SWT.

Berkongsi pengalaman sendiri ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, selepas disahkan positif pada 4 Oktober tahun lalu, beliau memaklumkan tempoh rawatan 11 hari itu dibahagikan dan dimanfaat dengan sebaik mungkin.

"Sepanjang dirawat di hospital saya sempat menyiapkan sebuah buku mengenai pengalaman diserang Covid-19 bertajuk 'Hari-Hari Tarbiah Dalam Hidupku', menjaga solat dan khatam Al-Quran sekali," katanya.

Dr Zulkifli (kanan) beramah mesra dengan pesakit Covid-19 yang dirawat di PKRC Maeps. FOTO ihsan FB Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli (kanan) beramah mesra dengan pesakit Covid-19 yang dirawat di PKRC Maeps. FOTO ihsan FB Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri

Ketika lawatan Zulkifli turut menyampaikan bantuan makanan iaitu roti canai sejuk beku, biskut dan minuman kepada 1,629 petugas barisan hadapan serta buku 'Hari-Hari Tarbiah Hidupku' sebagai panduan kepada pesakit.

Zulkifli berkata, walaupun pertemuan itu singkat dan dipisahkan dinding kaca, namun beliau merasa seronok dapat bertemu pesakit.

Katanya, kalau boleh beliau mahu berada lebih lama bersama mereka, namun disebabkan kekangan masa beliau terpaksa melupakan hasrat itu.

"Saya faham perasaan mereka kerana saya juga pernah berada dalam situasi ini dan berharap pesakit Covid-19 tidak merasa disisih dan tertekan.

"Sentiasa letakkan diri dan bersangka baik kepada Allah SWT dan berfikiran positif.

"Saya akan terus menyumbang bahan bacaan untuk pesakit di sini. Saya sayangsemua dan terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun berada di mana-mana," katanya.

Beliau kemudian mengakhir pertemuan itu dengan bacaan doa serta diaminkan oleh pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 8:57 AM