PKRC 2.0 Maeps secara rasminya ditutup hari ini. FOTO Muhammad Yusri Muzamir.
PKRC 2.0 Maeps secara rasminya ditutup hari ini. FOTO Muhammad Yusri Muzamir.
Muhammad Yusri Muzamir


Serdang: Selepas 427 hari beroperasi, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, melabuhkan tirainya secara rasminya hari ini.

Penutupan itu bagi memberi laluan kepada strategi semula pengurusan Covid-19 di Malaysia, khususnya bagi mengatasi gelombang baharu akibat penularan varian Omicron.

Seramai 13 individu iaitu sembilan pesakit Kategori 2 dan empat Kategori 3 menjadi kumpulan terakhir pesakit yang dibenarkan pulang selepas dirawat di PKRC itu sejak pada 30 Januari lalu.

Tinjauan di pusat yang mula beroperasi 9 Disember 2020 itu mendapati kerja pembersihan dan penyusunan aset perubatan sedang berjalan, sebelum ia diagihkan dipercayai ke fasiliti kesihatan ditetapkan.

Bagaimanapun beberapa struktur sementara yang dibangunkan di Dewan A dan B bagi merawat keseluruhan 166,072 pesakit Covid-19 dilihat masih belum dirobohkan.

Berucap pada Majlis Apresiasi Petugas PKRC 2.0 Maeps, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, PKRC itu adalah pencapaian amat luar biasa dalam usaha negara membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, biarpun fasiliti berkenaan disiapkan dalam tempoh tiga hari, PKRC 2.0 Maeps muncul sebagai pusat sehenti terbesar yang menawarkan pelbagai kemudahan.

Selain itu, katanya, kerjasama petugas pelbagai agensi dalam memastikan kelangsungan operasi PKRC 2.0 Maeps membantu mengurangkan beban di hospital serta usaha mengurangkan jumlah pesakit Covid-19.

"Selain berfungsi sebagai PKRC, lokasi ini juga pernah menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) kepada petugas barisan hadapan. Saya ingin ucapkan syabas, tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua yang pernah berkhidmat di PKRC 2.0 Maeps.

"Anda (petugas) adalah individu yang berjasa dan bersejarah dalam mengendalikan PKRC 2.0 Maeps. Anda semua adalah wira di hati saya dan semua rakyat Malaysia, terutamanya pesakit yang dirawat di fasiliti ini.

"Sumbangan dan dedikasi semua petugas pasti akan dikenang. PKRC 2.0 MAEPS menjadi saksi semua petugas bersedia dikerah untuk mencurahkan bakti kepada negara pada bila-bila masa," katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah PKRC Maeps 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim, mengakui sedih dan sukar untuk menerima kenyataan pusat itu berakhir.

Mengimbau operasi di fasiliti itu, beliau menyifatkan, PKRC 2.0 Maeps sebagai satu-satunya operasi pengendalian bencana terbesar negara yang dijalankan secara bersepadu bersama 19 agensi lain.

"Banyak pengalaman dilalui bersama semua petugas di sini, tetapi paling getir adalah ketika lonjakan kes Covid-19 antara Jun hingga Ogos tahun lalu, sehingga kita terpaksa menukar fungsi dewan daripada Kategori 1 dan 2 kepada lebih ramai pesakit Kategori 3, 4 dan 5.

"Sepanjang proses terbabit, banyak perkara sudah dilakukan selepas disepakati semua pihak. Dengan kerjasama, kesabaran dan keazaman semua pihak, kita dapat melaluinya. Misi utama bagi menstabilkan sistem kesihatan di Lembah Klang, Alhamdulillah berjaya.

"Saya berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan amat berbangga dapat bersama sahabat (petugas PKRC 2.0 Maeps) dalam menangani pandemik Covid-19, selain ahli keluarga semua petugas yang berkorban dan mendoakan kami sepanjang berkhidmat di sini," katanya.

Menangkis tohmahan susulan penutupan PKRC 2.0 Maeps, Dr Shahabuddin berkata, kerajaan sentiasa menganalisis situasi penularan semasa Covid-19 dan mengkaji unjuran berpandukan pengalaman dalam usaha membendung wabak itu serta perkongsian negara luar.

"Kementerian Kesihatan akan merangka strategi lain, sama ada membuka PKRC baharu di sekitar Lembah Klang atau melihat kaedah berbeza bagi menangani kes Covid-19, terutama bagi Kategori 2 dan 3," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 4:33 PM