Khairul Anwar Salleh
Khairul Anwar Salleh
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Stesen televisyen TV3 yang menyambut ulang tahun ke-37 hari ini terus menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mendapatkan laporan berita terkini dan kandungan program yang berkualiti sebagai sumber ruji kerohanian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh berterima kasih kepada penonton yang menjadikan TV3 kekal sebagai stesen televisyen nombor satu negara.

"Terima kasih kepada jutaan penonton yang kekal setia bersama TV3 selama 37 tahun. Kami berharap anda terus mendapat manfaat dan terhibur dengan kepelbagaian program yang disajikan.

"Drama dan program terbitan TV3 juga dipasarkan ke pasaran antarabangsa menerusi kerjasama dengan pemain-pemain utama di industri penyiaran mahupun platform digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika rakyat Malaysia sedang memerangi pandemik Covid-19, TV3 yang mula beroperasi sejak 1984 tidak lupa tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyalurkan maklumat terkini dan saranan kerajaan menerusi slot berita, bual bicara dan dokumentari.

"Terkini, kru Majalah 3 sudah membuat liputan eksklusif di PKRC Maeps, Serdang dan Hospital Sungai Buloh memaparkan kisah sebalik tabir petugas barisan hadapan bertungkus lumus berjuang menyelamatkan nyawa pesakit kritikal Covid-19.

"Paling meruntun jiwa adalah saat-saat akhir pesakit kritikal berkomunikasi dengan keluarga mereka. Episod ini mencatat empat juta tontonan ketika ditayangkan pada 17 Mei lalu jam 9 malam," katanya.

Dalam pada itu, sempena ulang tahun TV3, program Tanyalah Ustaz hari ini bersama seluruh rakyat Malaysia membaca surah Yasin secara serentak di seluruh negara untuk kesejahteraan negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan juga mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Bacaan dibawakan Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Mohamad Zarifi Mohamad Daud.

Tanyalah Ustaz diteruskan dengan episod istimewa iaitu Sampaikan Walau Satu Ayat pada jam 6.30 pagi hari ini bersama hos Da'i Hadhari dan Da'i Hakim.

Khairul Anwar berkata, sepanjang 37 tahun beroperasi, TV3 sudah menerbitkan pelbagai genre program antaranya Buletin Utama, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular BH, Anugerah Skrin, Majalah 3, Jejak Rasul, I Can See Your Voice Malaysia, Lagu Cinta Kita 2 dan Vokal Mania.

"Tidak ketinggalan juga drama-drama popular seperti 7 Hari Mencintaiku, Kampung People, Takdir Yang Tertulis, Melastik Ke Hatimu yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton TV3 seterusnya meraih jumlah penonton yang tinggi.  

"Ini termasuk program TV3 yang sentiasa mendapat hati di penonton setiap kali tibanya bulan Ramadan iaitu Jejak Rasul," katanya.

Jejak Rasul mula bersiaran sejak 1995 di TV3. Sepanjang 26 musim, Jejak Rasul membawa penonton mengembara ke bumi anbia di Asia Tengah, Asia Pasifik, Eropah, Benua Oceania dan Amerika Syarikat untuk memaparkan kisah nabi dan rasul, sahabat dan juga komuniti muslim.

Catatan perjalanan kru Jejak Rasul akan dizahirkan dalam sebuah pameran mini hasil kerjasama dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Selain itu, program hiburan yang sedang berlangsung di TV3 iaitu I Can See Your Voice Malaysia Musim 4 (ICSYVMY4) dan Sumbang Suara pula menceriakan malam Ahad penonton.

Slot drama di TV3 seperti slot Akasia, Lestary dan Samarinda tidak pernah mengecewakan peminat drama Melayu.

Terbaru menerusi slot Akasia bermula esok akan ditayangkan drama bersiri Masih Ada Rindu gandingan baharu Farid Kamil dan Mimi Lana.

Peminat program animasi pula, terus disajikan dengan siri yang tidak asing lagi iaitu Ejen Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 10:09 AM