HARI raya kali ini disambut agak berbeza apabila kedua-dua neneknya sudah pergi menghadap Ilahi.
HARI raya kali ini disambut agak berbeza apabila kedua-dua neneknya sudah pergi menghadap Ilahi.
Syafil Syazwan Jefri


PEMERGIAN datuk dan nenek tentunya akan lebih dirasai apabila menjelangnya Aidilfitri. Mana tidaknya, selalu di hari perayaan inilah anak cucu akan berkumpul dan berkampung bagi bersama-sama meraikan Aidilfitri.

Tentunya, tanpa kehadiran orang paling tua dalam keluarga akan memberi kesan sekali gus menempa kerinduan dalam hati.

Bagi penyanyi dan pengacara, Sissy Imann, Aidilfitri tahun ini nyata berbeza. Di samping menyambutnya dalam norma baharu, Sissy juga buat pertama kali menyambut tanpa nenek-nenek kesayangannya.

"Tahun ini, sambutannya berbeza kerana kedua-dua nenek kesayangan saya sudah kembali ke Rahmatullah. Dah tak ada lagi nenek, yang terus memanjakan saya dengan kenangan indah bersama mereka," katanya.

Rapat dengan kedua-dua neneknya di sebelah ibu serta ayah, Sissy berkongsi kenangan manis bagaimana kedua-dua nenek tersayangnya itu memiliki kepakaran bakat di dapur.

"Saya rapat dengan kedua-dua nenek terutamanya nenek di sebelah bonda kerana saya memang tinggal bersamanya sehingga saya tingkatan tiga. Jadi, banyak kenangan bersama arwah yang tak dapat saya lupakan.

"Apa yang paling saya rindukan adalah, juadah Aidilfitri daripada kedua-dua mereka. Kalau nenek sebelah bonda, dia adalah 'ratu' segala jenis kuih tradisional. Dulu sewaktu zaman sekolah, nenek dan bonda akan siapkan bekal untuk saya bawa.

"Kalau menjelang Aidilfitri, bukan hanya kuih tradisional. Nenek pasti selalu buatkan pelbagai jenis kuih muih dan saya sangat rindukan kenangan itu.

SISSY pandai menganyam ketupat sejak kecil.
SISSY pandai menganyam ketupat sejak kecil.

"Sementara itu, nenek di sebelah ayahanda saya pula adalah 'ratu' lauk pauk. Segala macam jenis lauk dia akan masakkan, lebih-lebih lagi kalau ketika sambutan Aidilfitri. Alhamdulillah, ada juga masakan asas arwah nenek yang sempat saya warisi," katanya.

Berkongsi mengenai tugasnya dalam keluarga, Sissy berkata, dia bertanggungjawab menganyam ketupat.

"Tugas saya setiap tahun adalah untuk menganyam ketupat. Memang sejak darjah empat lagi, ayahanda saya dah ajar bagaimana cara untuk menganyam ketupat.

"Bercerita mengenai ketupat, ada juga kenangan lucu yang tak dapat saya lupakan sampai ke hari ini. Kejadian ini berlaku ketika awal-awal saya pandai menganyam ketupat dahulu.

"Pada ketika itu, bila dah pandai sedikit saya mula yakin. Ya lah, kanak-kanak...kan. Jadi, punyalah saya yakin memasak dan bila nak makan keesokan harinya, semua jadi keras," katanya.

Terbaharu, Sissy kini bekerjasama dengan Warner Music Malaysia dan mengikat kontrak untuk menghasilkan dua single bersama syarikat rakaman itu.

SISSY kongsi kenangan manis kedua-dua nenek tersayangnya memiliki kepakaran bakat di dapur.
SISSY kongsi kenangan manis kedua-dua nenek tersayangnya memiliki kepakaran bakat di dapur.

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri ini, saya akan lancarkan satu single baharu dan kali ini saya bekerjasama dengan komposer, Omar K serta Firdaus Rahmat. Judulnya belum ada, tapi apa yang saya boleh kongsikan ia mengenai kisah wanita psiko kerana cintanya tidak dibalas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:10 AM