SISSY IMANN lega rezeki dipermudahkan Allah buat keluarga.
SISSY IMANN lega rezeki dipermudahkan Allah buat keluarga.
Norhayati Nordin

Masa bergerak pantas, tanpa disangka tinggal lebih sebulan lagi kita akan meraikan tahun baharu, 2022. Bagi penyanyi, pengacara, komposer, pemuzik, guru vokal dan pelakon, Sissy Imann, 26, dia hanya mampu bersyukur.

Di kala ramai penggiat seni terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19, Sissy pula mampu menarik nafas lega kerana kerjayanya dalam industri hiburan boleh dikata stabil.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana hasil kerja keras tanpa jemu selama ini dalam mengetengahkan apa saja bakat yang saya ada membuahkan hasil positif.

"Walaupun sekarang kita masih lagi berhadapan ancaman Covid-19, namun kehidupan perlu diteruskan. Untuk saya, sangat bersyukur kerana Allah mempermudahkan segala urusan," katanya.

Sissy juga anak kedua daripada tiga beradik berkata apa diperolehnya sekarang adalah rezeki buat keluarga. Katanya, dia amat bersyukur kerana ibu bapa merestui minatnya dalam karier seni termasuk terus menyokong dari belakang.

"Dorongan semangat daripada ibu bapa dan keluarga adalah kekuatan utama saya selama ini. Hanya mereka yang tahu dan selalu ada di sisi saya di saat gembira dan juga ketika bersedih.

"Bukan mudah saya berada pada tahap sekarang dan tak pernah disangka pun rezeki saya sangat murah ketika pandemik ini. Sejak tahun lalu, alhamdulillah rezeki kerja untuk saya sentiasa ada," katanya.

SISSY  belum terfikir soal cinta.
SISSY belum terfikir soal cinta.

Sissy yang pernah dikecam hebat netizen kerana penampilan busana kurang sesuai pada majlis anugerah diacarakannya, berkata insiden berlaku itu dianggap sebagai pengalaman berharga.

"Sebagai manusia biasa, semua yang kita lakukan tidak sempurna. Ditambah, sekarang pula zaman media sosial yang mana ramai orang lebih terbuka untuk memberi kritikan termasuk mengecam.

"Saya okey saja dengan situasi ini kerana sudah lali. Bagi saya, segala kritikan diberi netizen itu tidak semuanya negatif. Mana yang baik diambil untuk kita jadikan panduan penambah baik dalam persembahan," katanya.

Sehubungan itu, Sissy kini diberi kepercayaaan oleh TV3 menggalas tanggungjawab sebagai pengacara untuk dua program iaitu Muzik Muzik 36 bersama Alif Satar dan Idola Kecil Di Rumah.

Katanya yang masih 'solo' tanpa cinta, sekarang adalah masa untuk dia menyerlahkan bakat dan mencuba setiap peluang yang datang kerana dari situ banyak pengalaman dan perkara baharu dapat ditimba.

Menurut penyanyi lagu Mungkin Kamu dan Bebas ini, dia juga belum terfikir untuk bercinta kerana percaya jodoh akan tiba juga apabila sampai masanya. Sissy berkata yakin saja dengan ketentuan Yang Esa.

"Bagi saya, sekarang nikmati saja apa yang Allah sudah atur dan berikan untuk diri sendiri serta keluarga. Justeru, untuk itu saya hanya mahu terus bersyukur di atas segala rezeki diperoleh ini," katanya.

Mula melangkah membina kerjayanya dalam industri hiburan pada 2013, Sissy berkata selama lapan tahun ini dia sangat bersungguh-sungguh dan berusaha. Katanya, walaupun pencapaian masih belum di tahap popular tapi alhamdulillah okey terus bertahan.

Sehubungan itu, bagi program Muzik Muzik 36 dihoskan Sissy menemui penonton, jam 11.30 pagi, manakala Idola Kecil Di Rumah pula, jam 3 petang. Kedua-dua program ini disiarkan TV3 pada setiap Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 6:36 AM