Henry Golding.
Henry Golding.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Henry Golding menggesa masyarakat di seluruh dunia supaya membantu menghentikan diskriminasi terhadap orang Asia dan Asia Tenggara seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Henry berkata demikian menerusi Facebooknya dan menggalakkan masyarakat supaya tidak 'memejam mata' mengenai isu yang semakin meruncing ini.

"Jangan buat-buat tak nampak. Kita akan jadi lebih kuat, kalau kita ramai. Kalau anda nampak ada ketidakadilan berlaku, buat apa yang anda mampu untuk membantu mereka yang menjadi mangsa.

"Sudah beberapa kali kita dengar mengenai serangan terhadap orang-orang Asia, namun ramai yang 'pejam mata'. Sayang dan sokong satu sama lain, sebab itu saja cara untuk kita melawan serangan ini," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Henry juga berkongsi mengenai ketidakadilan yang berlaku terhadap orang Asia yang menetap di United Kingdom, di samping menyokong kutipan dana daripada beberapa organisasi untuk membantu mangsa serangan.

"Kebencian terhadap orang Asia kini mula menular di seluruh dunia, bukan sahaja di Amerika. Di United Kingdom terutamanya, kita dapat lihat bagaimana orang dari Asia Selatan dan Asia Tenggara terkesan dengan isu ini.

"Setiap derma anda akan membantu organisasi-organisasi terbabit untuk mengubah apa yang berlaku," tulisnya.

Henry juga mengucapkan terima kasih kepada rakannya yang juga pelakon, Gemma Chan yang memulakan inisiatif ini.

Isu buli dan serangan terhadap komuniti Asia semakin menjadi isu yang diperdebatkan dan ada yang diserang secara fizikal serta mental dengan kata-kata kesat serta tindakan seperti meludah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 2:21 PM