JUNG Hyun
JUNG Hyun
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Walaupun sudah berlalu, kisah pelakon Kim Jung Hyun membuat onar ketika penggambaran drama Time pada 2018 tiba-tiba hangat diperkatakan semula.

Dalam drama itu, dia bergandingan dengan anggota Girls' Generation iaitu Seohyun.

Ketika itu, dia dikritik berikutan kelakuan tidak menyenangkannya di sidang media.

Baru-baru ini, portal gosip Dispatch mendedahkan pula maklumat beberapa babak drama itu yang diubah gara-gara kelakuan pelakon terbabit.

Tidak ketinggalan, turut didedahkan adalah mesej perbualan antara Jung Hyun dan kekasihnya ketika itu, Seo Ye Ji.

Berdasarkan perbualan itu, Ye Ji mempengaruhi Jung Hyun untuk menjauhkan diri daripada mana-mana wanita yang terbabit dalam produksi Time.

Kelmarin, agensi Ye Ji tampil dengan kenyataan rasmi mengesahkan memang mereka bercinta ketika itu.

Bagaimanapun, agensi terbabit menafikan Ye Ji punca tercetusnya kelakuan tidak menyenangkan Jung Hyun.

Selepas beberapa lama berdiam diri, pelakon berkenaan kemudian tampil memohon maaf disebabkan kontroversi membabitkannya itu.

Menurut Jung Hyun, dia sangat menyesal dengan kelakuannya.

"Drama Time adalah hasil kerja sulung saya melakonkan watak utama sebagai pelakon, maka projek itu cukup bermakna untuk saya. Namun, saya mengecewakan serta menyakitkan hati pengarah, penulis skrip, rakan pelakon dan kaki tangan. Saya mohon maaf.

"Saya masih ingat dengan jelas bagaimana kelakuan saya sewaktu di sidang media Time. Saya sendiri tidak boleh maafkan kelakuan sebegitu, sangat menyesal dan berharap dapat memutar kembali masa," katanya.

Jung Hyun turut mendedahkan dia memang terbawa-bawa perasaan itu berikutan masalah peribadi dialaminya.

Dia menganggap dirinya gagal memenuhi tanggungjawab sebagai pelakon utama drama berkenaan.

"Saya tidak mahu beri apa-apa alasan. Keputusan saya mengundur diri daripada drama itu serta mempamerkan kelakuan tidak berhemah di sidang medianya memang satu kesilapan besar.

"Saya memohon maaf seikhlasnya terhadap Seohyun akibat terluka dengan perkara itu serta orang lain yang bekerja keras ketika itu. Saya patut kena melawat mereka sendiri dan memohon maaf secara peribadi," katanya.

Berazam untuk tidak mengulangi kesilapannya, Jung Hyun berharap dia terus akan mendapat kepercayaan serta diberi peluang menunjukkan kewibawaannya sebagai pelakon.

Menurutnya, dia sudah belajar daripada kesilapan lalu itu.

"Sewaktu menulis surat ini, saya sudah melakukan refleksi diri terhadap kesilapan dan kelakuan salah saya itu. Jika saya diberi peluang, saya takkan sia-siakannya lagi dan berusaha menjadi pelakon yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 8:13 AM