SEO Ye-ji turut menjadi mangsa ‘pangkah’ netizen hingga memusnahkan kariernya.
SEO Ye-ji turut menjadi mangsa ‘pangkah’ netizen hingga memusnahkan kariernya.
BERSAMA George Joseph

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, budaya pangkah atau 'cancel culture' kian giat tersebar dan dipraktikkan di pelbagai negara seluruh dunia.

Bukan sekadar golongan artis, malah pempengaruh, ahli politik, atlit dan siapa-siapa yang besar namanya menjadi sasaran. Paling teruk, sepantas kilat kerjaya mereka runtuh jika menjadi mangsa.

Walaupun tempias itu terkena di Malaysia juga, masih ramai kurang peka kesan atau kewujudannya.

Boleh cakap, rakyat kita sebenarnya tidak endah dan lihat kepentingan 'cancel culture'.

Persoalannya, bersediakah Malaysia andai budaya itu diamalkan secara drastik di sini? Mampukah kesan jangka masa panjangnya merubah ekosistem sosial kemasyarakatan kita nanti?

'Cancel culture' paling ketara mampu meninggalkan kesan paling besar sekarang boleh dilihat pada golongan artis.

Dengan kuasa netizen yang pakar mengorek pelbagai rahsia sekarang, jaminan reputasi mereka sukar diduga.

Corak amalan budaya itu bagaimanapun berbeza di setiap negara.

Di barat lain, tapi mengambil contoh terdekat dari Korea Selatan, rakyatnya agak ekstrem juga apabila memutuskan untuk memangkah orang kenamaan.

Ambil contoh pelakon jelita, Seo Ye-ji yang popular menerusi drama It's Okay to Not Be Okay. Kariernya musnah selepas menjadi mangsa pangkah mendadak sepantas kilat sehingga namanya merudum jatuh.

Reputasi pelakon berkenaan tercalar selepas kisah lampaunya dibongkar.

Dia dikaitkan dengan pelbagai tuduhan yang membangkitkan kemarahan ramai.

Antaranya, dia didakwa mengongkong dan memanipulasi pelakon, Kim Jung-hyun yang juga kekasihnya pada 2018.

Disebabkan tindakan itu, Kim Jung-hyun mempamerkan perangai tidak disenangi dalam produksi drama Time.

Tidak ketinggalan, Seo Ye-ji juga dikhabarkan pernah melakukan kekejaman terhadap pekerjanya. Bagaimanapun, agensinya belum memberi kenyataan balas mengenai kebenaran tuduhan itu.

Pelbagai jenama besar yang berkait dengannya tarik diri, penerbit enggan mengambilnya berlakon, rakan industri pun menjauh.

Sangat menakutkan kerana sedikit sebanyak pasti memberi kesan kepada kesihatan mentalnya juga.

Bukan tidak pernah berlaku di sini, bahkan kontroversi demi kontroversi yang berlaku dalam industri hiburan menaikkan nama artis tertentu supaya 'dipangkah'.

Satu lagi kesan yang amat jelas apabila ia membabitkan jenama besar tertentu. Pihak berkenaan pastinya enggan terpalit kotor gara-gara nama mereka diwakili individu yang mencetuskan onar.

Cumanya, jelas sangat bahawa amalan itu memang tidak konsisten apatah lagi selepas permohonan maaf dibuat. Rakyat kita mudah berlembut hati dan tanpa disedari, sesuatu kes berkenaan kemudian berlalu umpama angin.

Kalau ikutkan, memang ada baiknya juga kerana ia mampu memberi pengajaran bukan saja artis tapi golongan berpengaruh dalam masyarakat.

Bukan semua tidak layak diberikan peluang kedua. Sekurang-kurangnya 'cancel culture' yang menimpa mereka mampu menjadi motivasi untuk buktikan mereka boleh jadi lebih baik pada masa hadapan.

Lagipun, dalam pada ditimpa musibah itu, pasti masih ramai yang menyokong dan mendoakan mereka menebus kesilapan lalu. Sokongan itulah harus dimanfaatkan sebaiknya agar tidak berulang kekhilafan lampau.

Apapun, sama ada 'cancel culture' mampu merebak ke Malaysia pula suatu hari nanti, perlu wujud kesedaran awal bagaimana seseorang yang berpengaruh membuat justifikasi cermat dalam segala tindak-tanduk mereka.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 7:00 AM