Seo Ye-ji
Seo Ye-ji
Agensi

Seoul: Hampir setahun dihambat kontroversi, pelakon Seo Ye-ji, 32, membuat permohonan maaf rasmi mengatakan sikap tidak matang punca utama dia melakukan kesilapan lampau.

Permohonan maaf terbabit bagaimanapun dibuat secara umum tanpa menyebut mengenai kontroversi hubungannya dengan bekas kekasih, Kim Jung-hyun.

"Melihat semua cemuhan dan kata-kata yang dilemparkan, saya mengambil masa untuk refleksi terhadap diri sendiri sehingga sekarang. Saya setulus hati mohon maaf buatkan ramai tidak senang disebabkan kelemahan saya.

"Ampunkan saya kerana sangat mengecewakan kamu. Ini semua berpunca daripada sikap tidak matang saya.

"Saya akan berusaha untuk tunjukkan kelakuan lebih baik dan berhati-hati pada masa hadapan. Saya mahu tonjol sisi diri yang jauh lebih matang," katanya.

Terdahulu, reputasi pelakon siri It's Okay Not To Be Okay itu tercalar selepas kisah lampaunya dibongkar. Dia dikaitkan dengan pelbagai tuduhan yang membangkitkan kemarahan ramai.

Antaranya, dia juga didakwa mengongkong dan memanipulasi pelakon Kim Jung-hyun yang juga kekasihnya pada 2018. Disebabkan tindakan itu, Kim Jung-hyun mempamerkan perangai tidak disenangi dalam produksi drama Time.

Tidak ketinggalan, Seo Ye-ji juga dikhabarkan pernah melakukan kekejaman terhadap stafnya. Bagaimanapun, agensinya belum memberi kenyataan balas mengenai kebenaran tuduhan itu.

Selepas lama menyepi, Seo Ye-ji kini kembali aktif dan bakal membintangi siri Eve akan datang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 5:59 PM