Murni Wan Omar


MAHKAMAH Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling, membebaskan bekas suami Serina Redzuawan, Gavin Edward O’Luanaigh daripada pertuduhan khalwat dengan seorang wanita, Julai lalu.

Hakim Syarie Siti Aminah Kamil membuat keputusan itu terhadap O’Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, O’Luanaigh dan Kiranjit Sidhu @ Kiran Manjit Singh Sidhu didakwa atas pertuduhan percubaan khalwat.

Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Petaling Jaya, pada 10 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 52(1) dan Seksyen 29(1)(b)(b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, peguam syarie Raihan Mustafa Kamal yang mewakili O’Luanaigh dan Kiran ketika memaklumkan keputusan itu berkata, pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap kedua-dua anak guamnya.

Pendakwaan dijalankan oleh pendakwa syarie Khafizah Ahmat Khairi.

Berdasarkan kenyataan diperolehi daripada Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir, O’Luanaigh mendakwa beliau adalah seorang beragama Islam dan sentiasa cuba mengamalkan agama Islam.

Malah, dia mendakwa memujuk Kiran untuk memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengannya.

O’Luanaigh memeluk agama Islam pada 20 November 2006, manakala Kiran memeluk Islam pada 20 November tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan O’Luanaigh dan Serina bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 1 Ogos tahun lalu, selepas tujuh tahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 9:56 PM