Syafil Syazwan Jefri


TEMPOH masa dilalui memberi banyak ruang buat seseorang individu untuk berfikir dan bertindak dengan lebih matang. Bagi pelakon, Remy Ishak yang menginjak usia 39 tahun ini mengakui ruang dan peluang diperoleh itu menjadikannya lebih matang dalam pelbagai aspek.

Antaranya, perhubungan dalam percintaan.

Bertemu Remy baru-baru ini, pelakon serba boleh itu tidak lokek berkongsi mengenai hubungannya dengan bekas tunang, Ezza Yusof yang kini mula bertaut kembali.

"Pengalaman banyak mengajar saya menjadi manusia yang lebih matang. Dalam usia saya sekarang, tentunya perkahwinan menjadi salah satu perkara yang berlegar-legar dalam fikiran saya," katanya.

Tidak mengia atau menidakkan mengenai status hubungan baiknya dengan bekas tunang, Remy juga enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinan bagi menjaga hati pihak Ezza.

"Saya tak mahu memberikan sebarang kenyataan berkaitan perkahwinan. Bukan apa, ini kerana saya perlu menghormati pihak sana (Ezza) dan kalau boleh, tak mahu menyinggung mana-mana pihak, sekali gus akan menimbulkan salah faham.

"Apa yang boleh saya katakan, kalau ada jodoh, saya mohon doa yang baik-baik daripada semua," katanya.

Tidak menolak ketika ditanya sama ada dia mengharapkan pengakhiran yang baik buatnya dan Ezza, kata Remy, semua itu akan dikongsikan sekiranya ada sebarang berita gembira nanti.

"Tentunya saya juga inginkan pengakhiran yang baik untuk kami berdua. Saya mohon doa daripada kalian dan sekiranya ada berita gembira, saya akan kongsikan pada semua.

"Namun apa yang boleh saya katakan ia bukan dalam masa terdekat ini," katanya.

REMY sudah berbaik dan rapat semula dengan bekas tunang, Ezza.
REMY sudah berbaik dan rapat semula dengan bekas tunang, Ezza.

Berbicara lanjut mengenai perkahwinan, Remy yang membesar dalam keluarga ibu bapa bercerai mengakui dia tidak mahu perkahwinannya kelak berdepan situasi sama.

"Saya semakin selesa dengan Ezza sebab kami pun dah mula mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam. Sebelum ini kami bertunang selama dua tahun dan dalam tempoh itu, banyak perkara yang kami tidak tahu mengenai satu sama lain.

"Saya sendiri datang dari keluarga yang bercerai. Sedikit sebanyak, situasi itu memberi kesan kepada saya kerana tidak mahu perkahwinan saya kelak, turut berdepan situasi sama. Jadi, kalau perlu mengambil masa yang lama untuk melalui proses berkawan, saya tak kisah," katanya.

Dugaan dalam perhubungan juga menjadikannya lebih kuat dan pada masa sama, mengakui bahawa dia memerlukan wanita yang memahani karier serta diri pelakon sepertinya.

"Dalam pemilihan calon itu, tentunya akan ada macam-macam dugaan daripada putus, sambung semula dan perkenalan dengan orang lain. Jadi, kita kena cari yang benar-benar memahami diri kita.

"Sebagai pelakon pun, saya ada 'kegilaan' saya dalam kerjaya ini. Contohnya, bila kita terbawa-bawa dengan satu karakter, kadang-kadang 'mood' pun boleh berubah-rubah," katanya.

Yang pasti, ramai mengharapkan semoga ada pengakhiran menarik dalam hubungan percintaan Remy dan Ezza memandangkan

kedua-duanya dilihat sebagai pasangan yang serasi serta secocok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:32 AM