REMY Ishak dan Ezza.
REMY Ishak dan Ezza.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Ezza sentiasa ada bersama pada saat jatuh, bangun saya. Walaupun selepas kami putus tunang, kami terus berhubung dan dia selalu ada. 'She's the one'," kata pelakon Remy Ishak mengenai bakal isterinya, Roszaliza Yusof, 38, atau Ezza Yusof.

Remy, 39, atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata, tempoh lapan tahun perhubungan dengan Ezza yang juga ahli perniagaan itu dianggap satu proses pembelajaran buat mereka sebelum memutuskan untuk berkahwin.

"Saya selalu bercakap pada diri, saya perlukan seseorang yang faham dan kenal saya bukan saja sebagai Remy Ishak tapi juga Mohammad Zalimei. Agak bahaya kalau pilih pasangan yang kenal saya sebagai Remy saja. Saya nak pasangan yang kenal luar dalam.

"Pahit manis hubungan selalu berlaku. Diakui sepanjang lapan tahun perkenalan dan perhubungan kami macam-macam berlaku. Pada tiga tahun pertama susah nak kenal saya ditambah dengan sifat cemburunya. Tapi, jatuh, bangun, sakit saya, dia ada di situ.

"Ketika putus tunang, saya ada juga berkenalan dengan orang lain dan kenal hati budi. Tapi dalam proses itu hubungan tak dapat teruskan. Jadi, ketika tempoh putus tunang itu juga kami putuskan untuk terus berhubung. Dia selalu ada di situ. Dia orang yang faham saya," katanya pada sesi temu bual bersama media secara dalam talian, hari ini.

Berkongsi lanjut mengenai perhubungan itu, Remy berkata, sikap terlalu memilih itu perlu ada dalam diri dan ia dibuktikan dengan pilihannya yang bakal mengahwini Ezza.

"Saya berjumpa ramai orang. Menjadi figura awam mudah untuk kenal ramai orang. Bukan saya terlalu memilih, tapi saya fikir ia bukan kerja saja tapi juga untuk masa depan. Jadi, terlalu memilih itu perlu. Bukan dari segi status atau kerjaya dan sebagainya, pada saya peribadi.

"Kalau ada orang pernah cakap perkara tidak baik mengenai saya sebelum bersama Ezza, saya faham semua orang melalui proses pembelajaran dalam hidup. Malah, masa kenal Ezza pun ada juga berita tak baik mengenai dia. Kami sama-sama lalui proses pembelajaran itu," katanya.

Remy berkata, dia menghormati Ezza kerana selalu ingin berubah menjadi lebih baik.

Perkara itu juga membuatkan Remy kagum dengan Ezza kerana Remy juga perlukan sokongan untuk menjadi lebih baik.

"Dia bukan saja sokong saya dalam dunia glamour ini, tapi peribadi juga. Saya berasa terusik di situ. Dia bukan kenal saya sebagai Remy Ishak, tapi dia pandang saya macam orang biasa. Dia selalu cakap kenapa nak layan saya macam VIP. Baginya manusia tetap sama. Itu yang buatkan saya masih berpijak di bumi nyata dan saya perlukan itu," katanya.

Remy yang juga pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan bakal melangsungkan pernikahan dengan Ezza yang berasal dari Mentakab, Pahang, pagi esok di sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Majlis pernikahan pasangan itu juga berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 12:51 PM