Siti Sarah membesar di Keramat.
Siti Sarah membesar di Keramat.
Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Sebak rasa bila jejak balik tempat saya dibesarkan dulu. Hampir 22 tahun saya dibesarkan di sini. Mungkin ada yang tahu dan ada juga yang tak tahu saya sebenarnya dibesarkan di Keramat," kata penyanyi popular, Siti Sarah mengimbau kembali kehidupan lalunya sebelum berjaya bergelar usahawan.

Sarah menerusi Instagram berkata, dia pernah tinggal di rumah flat di Keramat ketika masih bersekolah dulu.

"Inilah sekolah, tempat mengaji, tempat main, semua dekat dengan rumah ni. Awal-awal jadi artis pun inilah tempat saya tinggal. Semuanya bermula dari bawah. Mana ada terus hidup senang, semua kena ada usaha," tulisnya.

Menurut Sarah, dia juga sebak apabila mengingati kembali ketika bapanya menjual roti canai untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Ketika negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi pada 1997, abah juga terkena tempiasnya. Dia tak ada kerja langsung. Nak berlakon, mengarah semua tak ada. Nak bayar ansuran kereta pun tak mampu ketika itu," katanya.

Sarah yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon, Raisuddin Hamzah berkata, demi tanggungjawab, bapanya membuang rasa malu dan belajar cara membuat roti canai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 4:59 PM