Siti Sarah
Siti Sarah
Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Jangan ambil kesempatan dalam kesempitan," kata penyanyi Siti Sarah mengenai tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap bantuan yang dihulurkan.

Sarah berkata, dia kesal apabila ada individu yang tamak dan tidak bertanggungjawab termasuk meminta barangan yang tak sesuai dengan situasi.

Sarah berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi rezeki dan membantu pihak yang memerlukan, namun dia tidak hebahkan perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti itu mula jadi kurang seronok apabila ada yang meminta barangan merepek dan tak kena dengan situasi.

"Contohnya minta belikan baju dalam talian atau kerusi selesa sebab nak bekerja dari rumah. Ada juga kes yang minta bantuan tapi nak barang yang ikut tekak sendiri," katanya.

Menurut Sarah, dia berharap orang ramai yang memerlukan bantuan supaya bertimbang rasa dan mengutamakan kepada individu yang benar-benar memerlukan.

"Kasihanlah orang lain yang betul-betul perlukan bantuan. Ada yang sampai makan nasi lauk telur saja, tapi dia tak nak minta bantuan sebab rasa ada ramai lagi yang lebih memerlukan.

"Ini tidak, ada yang cukup makan pakai tempat tinggal segala segi, boleh minta bantuan nak daging macam-macam. Tolonglah jangan ambil kesempatan," katanya.

Siti Sarah berkata, dia tidak mahu orang ramai salah anggap dengan kenyataannya ini kerana dia bukan berlagak atau menunjuk-nunjuk, tetapi cuma nak ringankan beban mereka yang betul-betul perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:03 PM