SITI SARAH
SITI SARAH
Georgie Joseph


PENYANYI Siti Sarah Raisuddin mengakui menyesal apabila terlupa mengundang arwah Faizal Uzir atau Lok U pada majlis pembukaan perniagaan kedai minumannya pada penghujung tahun lalu.

Sarah, 36, berkata, perkara itu membuatkan dirinya rasa bersalah dan sebak dengan pemergian mengejut pengarah muzik itu pada 22 Januari lalu.

“Hubungan saya dengan arwah memang sangat rapat. Di kala saya rasa diri tidak cukup bagus sebagai penyanyi, dia yang sentiasa percaya bakat saya.

“Saya rasa bersalah apabila terlupa mengundang arwah ke majlis pembukaan kedai minuman saya. Arwah pernah menyatakan hasrat mahu berniaga dan minta nasihat saya.

“Saya beritahu, saya akan bantu jika mahu mencuba, tetapi hajat tak kesampaian. Saya sangat menyesal dan sampai sekarang rasa bersalah terhadapnya,” katanya pada pelancaran lagu terbarunya berjudul Dap Dap Dap, baru-baru ini.

Sarah juga sepatutnya dalam proses menghasilkan sebuah single balada bersama Lok U yang bakal dilancarkan selepas Aidilfitri kelak.

Sarah mengakui agak hairan apabila Lok U melengahkan untuk menyiapkan susunan lagu berkenaan sebelum pemergiannya.

“Mengenali arwah, dia bukan jenis suka melengahkan kerja. Saya ada bertanyakan mengenai lagu itu dua hari sebelum dia meninggal dan mengatakan lagu itu hampir siap.

“Arwah juga meminta saya mendengar lagu ciptaanya yang didedikasikan buat arwah Kelly dan Aji. Dia turut berhajat mahu saya menyanyikan lagu itu,” katanya.

Terdahulu, pemergian Lok U mengejutkan industri muzik tempatan. Arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Puncak Jalil, Seri Kembangan disebabkan sesak nafas selepas pulang dari joging.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 9:58 AM