KMY Kmo anggap kemenangan di Kanada satu kejayaan besar baginya
KMY Kmo anggap kemenangan di Kanada satu kejayaan besar baginya
Syafil Syazwan Jefri

SEBUT sahaja nama Kmy Kmo, tentunya ramai yang membayangkan aksinya melantunkan bait-bait rap bersama gandingannya, Luca Sickta. Namun begitu, Kmy juga pada masa sama turut mencari ruang dan peluang untuk melebarkan sayap seninya dengan melakukan kolaborasi bersama beberapa penyanyi lain dalam industri.

Pernah berkolaborasi dengan nama besar antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir dan Datuk Jamal Abdillah, Kmy kini mengorak langkah dan menjadi sebahagian kejayaan besar yang berjaya menempa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, lagu berjudul Sifar yang mana liriknya adalah hasil nukilan Kmy bersama Asfan Shah dan Lady D berjaya menggondol kemenangan dalam kategori Music is the Key di acara International Media Festival for Prevention di Toronto, Kanada.

Bagi Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, peluang untuk menghasilkan lirik buat projek khas ini adalah peluang dan cabaran besar buat dirinya sebagai penulis lirik.

"Lagu ini dihasilkan oleh Asfan, Tripdsz dan Lady D dan ketika Asfan memberi lagu Sifar kepada saya, dirasakan ia sebagai satu tugas yang mencabar kerana saya perlu tumpukan perhatian kepada judul lagunya dan juga kandungan mesej yang perlu diterapkan," katanya.

Menurutnya, sebagai pengkarya yang gemar menyentuh pelbagai isu secara meluas, karya yang begitu spesifik seperti Sifar benar-benar menguji kemampuan skil penulisan liriknya.

"Sifar adalah lagu khas yang dihasilkan untuk projek Mission Zero anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Secara ringkasnya, ia juga adalah lagu OST untuk filem berjudul Warkah.

KMY kini lebih fokus untuk tugasan penghasilan lirik.
KMY kini lebih fokus untuk tugasan penghasilan lirik.

"Sedikit perkongsian mengenai mesej dalam lagu ini, ia berkisar mengenai keselamatan dan pencegahan kemalangan ketika bekerja. Jadi, apabila diberikan satu konsep yang begitu spesifik, saya akui agak sukar untuk saya hasilkan lirik," katanya.

Namun begitu, kegusaran itu tidak menjadi masalah buatnya. Tugas dan tanggungjawab besar menjadikan Kmy lebih fokus dalam menulis lirik berkualiti.

"Apabila diberikan satu tugasan dan tanggungjawab yang besar, saya jadi lebih fokus. Alhamdulillah, lebih kurang seminggu, saya beri tumpuan penuh dan siapkan lirik untuk lagu ini.

"Selalunya, saya akan menulis dan menyalin beberapa kali lirik yang sudah ditulis dan cuba cantikkan. Asfan selaku salah seorang penulis juga kerap berkongsi idea dan bertanya perkembangan mengenai penulisan lirik untuk lagu Sifar ini.

"Selain itu, saya juga mendapatkan rujukan visual daripada filem Warkah. Jadi, sedikit sebanyak ada beberapa babak dalam filem itu yang menjadi sumber inspirasi buat saya," katanya.

Syukur kejayaan Sifar

Berkongsi perasaannya atas kemenangan lagu Sifar di festival bertaraf antarabangsa itu, Kmy bersyukur kerana karya bersama rakan-rakannya itu dapat diterima sehingga ke peringkat luar negara.

"Tahniah kepada semua yang bekerja keras dalam menghasilkan Sifar. Tahniah kerana kita berjaya menghasilkan satu karya yang dapat diterima oleh pelbagai negara. Itu adalah sesuatu yang membanggakan.

"Kita dapat suntikkan elemen yang ada daripada negara kita untuk ditonjolkan dalam lagu dan sampaikan dengan cara kita," katanya.

Ditanya sama ada karya ini akan diangkat semula walaupun selepas setahun ia dilancarkan, Kmy berkata, ia bergantung kepada strategi daripada label yang bertanggungjawab menerbitkannya iaitu Rusa Music.

Terbaru, Kmy juga muncul sebagai artis undangan bersama Luca di acara Demi Masa M Nasir yang disiarkan di platform digital YouTube Luncai Emas Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:00 AM