SITI Nurhaliza. FOTO IG ctdk
SITI Nurhaliza. FOTO IG ctdk
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendoakan semoga penyanyi lagu 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu (ABS) diberikan kesihatan baik dan ketenangan pada Anugerah Juara Lagu ke-35 yang bakal berlangsung, esok.

Bagi lagu 7 Nasihat, tempat Siti digantikan oleh Shiha Zikir dan bakal menyanyikan lagu itu bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta serta lagu Aku Bidadari Syurgamu dinyanyikan oleh, Aishah.

"Kepada yang bertanding untuk AJL 35, khususnya yang pertama untuk penyanyi dan komposer 7 Nasihat iaitu Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta, komposer dan penulis lirik ABS iaitu Ippo Hafiz dan Siti Rosmizah serta penyanyi yang saya hormati Kak Aishah, semoga maju jaya untuk AJL ini.

"Semoga diberikan kesihatan baik, ketenangan dan selamat menghiburkan kami semua. Saya akan menonton saja di rumah dan menyokong anda semua," katanya.

Shiha Zikir dan Aishah dipilih menggantikan Siti ekoran keputusan penyanyi lagu Siapa Tak Mahu itu yang tidak akan bertanding pada acara berkenaan.

Kedua-dua penyanyi gantian itu terlebih dahulu beraksi pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 35 yang berlangsung tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:10 PM