Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Isa Khan melancarkan lagu ciptaannya berjudul Karunia Terhebat khas buat isteri tercinta, Nur Risteena Munim sebagai hadiah sempena hari bahagia mereka selepas sah menjadi suami isteri.

Isa berkata, lagu itu adalah simbolik mengenai perjalanan kisah cinta mereka. 

"Lagu ini saya abadikan kisah cinta kami dari awal perkenalan sehinggalah akhirnya melangkah ke alam perkahwinan. 

"Ia mengisahkan mengenai pemberian terhebat daripada Allah SWT iaitu isteri kepada saya. Saya ciptakan lagu ini istimewa buat dia," katanya kepada Harian Metro. 

Bagi Risteena pula, lagu itu berjaya membuat dia menitiskan air matanya saat pertama kali diperdengarkan. 

"Kali pertama saya mendengar lagu ini, saya menangis. Saya berasa tak ada lelaki yang mampu melakukan sesuatu yang istimewa kepada saya seperti mana yang dia lakukan Isa," katanya. 

Menurut Risteena, dia tahu Isa bekerja keras menghasilkan lagu itu sejak tahun lalu. 

"Sekitar Julai tahun lalu, dia sudah mula menulis lagu ini. Tapi, pada ketika itu saya agak sibuk dengan penggambaran dan dia pun tak bagi saya dengarkan lagu ini sepenuhnya," katanya. 

Pasangan itu dinikahkan jam 10.40 pagi semalam oleh bapa Risteena sendiri iaitu Zainul Ilyas Zainul Abidin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dengan mas kahwin RM1,000. 

Pada majlis itu, Isa turut menyerahkan wang hantaran RM32,000 sebagai simbolik usia Risteena iaitu 32 tahun.

Sebelum ini, Risteena dan Isa merancang untuk bernikah pada 20 November lalu, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pasangan itu juga terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia setelah lima bulan berkenalan.

ISA dan Risteena ketika majlis resepsi mereka di Quill Convention Centre. FOTO Aziah Azmee
ISA dan Risteena ketika majlis resepsi mereka di Quill Convention Centre. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 12:51 AM