Taufik Hanafi
Taufik Hanafi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon filem Ola Bola dan Paskal, Taufik Hanafi, 29, belum mengaku kalah untuk mencipta nama dalam industri seni tanah air.

Selepas membintangi Paskal yang mendapat sambutan hebat, Taufik amat kurang menerima tawaran terutamanya untuk berlakon drama televisyen.

"Aktiviti lakonan saya tetap berjalan seperti biasa tapi untuk dapat tawaran berlakon terutamanya drama ternyata agak sukar. 

"Faham sajalah kerana kena tunggu kelulusan stesen TV. Jadi, saya selalu kena 'reject'. Nak cakap saya tiada nilai komersial atau sebab saiz fizikal pun tak pasti juga. 

"Hanya stesen TV yang ada jawapannya, walaupun pengarah nak saya bawa sesuatu watak kerana kena dengan saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setakat ini dia hanya banyak terbabit sebagai pengacara dan kini berlakon sebuah filem baharu.

"Sejujurnya saya masih tunggu tawaran untuk drama atau projek lain. Lebih lagi dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, semua projek masih digantung tak bertali kerana tiada pengesahan dari produksi.

"Apabila ditanya semuanya kata tunggu keputusan dari stesen TV. Pernah juga saya sabar menanti dan apabila keputusan diperolehi saya diberitahu belum ada lagi rezeki untuk saya. 

"Tak dinafikan perasaan kecewa memang ada. Tapi apa nak buat kerana kuasa pemilihan bukan di tangan pengarah atau penerbit," katanya. 

Taufik yang berlakon sepenuh masa kini merancang untuk menyambung pengajiannya sebagai jaminan masa depan.

"Saya rancang nak sambung ke peringkat ijazah sarjana mungkin dalam pemasaran filem atau yang berkaitan," katanya.

Taufik sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perfileman dan televisyen di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 1:13 PM