Shkuri tunggu tawaran lain untuk berlakon. FOTO MAHZIR MAT ISA
Shkuri tunggu tawaran lain untuk berlakon. FOTO MAHZIR MAT ISA
Ridzuan Abd Rahman


SHUKRI Yahaya tidak menyesal menolak tawaran berlakon filem Paskal yang kini muncul sebagai filem pecah panggung apabila mencatat kutipan lebih RM22 juta.

Shukri, 30, yang dikenali menerusi drama bersiri Andainya Takdir dan Tujuh Hari Mencintaimu berkata, dia terpaksa menolak tawaran itu kerana terikat dengan komitmen lain.

“Mereka nak mulakan penggambaran cepat tapi saya tak boleh ikut jadual yang diberikan kerana sudah terikat dengan beberapa syarikat produksi lain.

“Kalau difikirkan memanglah terasa rugi tapi nampaknya rezeki saya tiada di situ dan terpaksa tunggu tawaran untuk berlakon filem lain sekiranya ada selepas ini," katanya.

Shukri berkata,dia tidak pasti apakah watak yang akan diberikan kepadanya ketika ditawarkan berlakon filem arahan Adrian Teh itu.

“Saya memang tak tahu. Mungkin saya akan diberikan salah satu watak anggota Paskal dan mungkin watak Leftenan Komander Arman Anwar yang dibawa oleh Hairul Azreen, tapi itu rezeki masing-masing. Saya kena akur ia bukan rezeki saya.

“Setakat ini saya tetap berpuas hati dengan rezeki menerusi drama. Boleh dikatakan rezeki saya tak pernah putus untuk berlakon drama.

“Terbaru saya sibuk dengan penggambaran drama bersiri Ghaib membawakan watak sebagai Detektif Reza,” katanya.

Sebelum ini Shukri tampil dengan filem pertamanya berjudul Surf This Love bersama Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim dan Josiah Hogan, namun ia gagal di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 4:56 PM