Semalam, Lady Gaga tampil dengan kejutan baru sewaktu menjayakan persembahan Pepsi Halftime di acara berprestij Amerika Syarikat (AS), Super Bowl ke-51.
Apa yang pasti, penampilannya itu semata-mata mahu memberikan persembahan luar biasa dan punya impak tersendiri. Tiada lagi unsur provokasi seperti yang acap kali dilakukannya sebelum ini.
Lady Gaga berani mengambil risiko terbang dari bumbung NRG Stadium, Houston, Texas, AS selepas menyanyikan lagu God Bless America dan This Land Is Your Land. Ibarat Peter Pan, dia berpusing-pusing di udara sebelum ‘mendarat’ di pentas utama.
Meskipun konsep yang ditampilkan itu luar biasa, persembahan berdurasi 13 minit itu tidak cukup menyengat.
Mengenali Gaga, persembahannya kali kini kurang menyentuh emosi penonton. Bahkan, ia lari daripada elemen kontemporari yang selalu menjadi makanannya.
Penyanyi itu mula mencuri perhatian pada 2008 apabila album The Fame yang memuatkan lagu hit Just Dance dan Poker Face berjaya meledakkan namanya. Tahun seterusnya, dia tidak pernah gagal menyajikan karya hebat.
Bagaimanapun, Gaga yang gemar tampil dengan konsep pelik tiba-tiba beralih arah apabila tampil dengan imej lebih elegan.
Menerusi persembahan semalam, dia kembali dengan imej pelik apabila tampil dengan persalinan rona perak dan berunsurkan keluli. Pementasan yang disinari lampu disko itu mengulangi idea lamanya dan dikritik tidak menggambarkan Amerika pada 2017.
Segmen halftime Super Bowl terkenal dengan konsert yang sarat dengan gimik. Namun persembahan Gaga yang padat dengan elemen teknikal hanya mengganggu tumpuan penonton dan menenggelamkan nyanyiannya.
Menggunakan banyak dron dan lampu yang kerap bertukar wana hanya kelihatan indah sewaktu dia mengalunkan lagu Million Reasons. Ia melengkapkan persembahan Lady Gaga yang ketika itu turut bermain piano.
Bagaimanapun, kekurangan itu mungkin berpunca daripada pemilihan lagu. Mendendangkan beberapa lagu balada yang kurang mesra di telinga ramai, dia seakan-akan menjadikan persembahan itu medan memperkenalkan rangkaian karya itu.
Turut dipersembahkan adalah lagu Born This Way dan Bad Romance.