Ezzaty Abdullah
Ezzaty Abdullah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Ezzaty Abdullah kini kembali menjalankan perniagaan mi udang bersama suami yang juga pelakon, Azwan Kombos bagi menampung kehidupan mereka selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Ezzaty berkata, banyak aspek yang membuatkan dia dan suami kembali berniaga antaranya selepas meneliti sistem kewangan mereka.

"Memikirkan simpanan kami yang semakin berkurangan. Perniagaan spa juga tak boleh dibuka dan sewa masih perlu dibayar, jadi saya dan suami memulakan semula perniagaan mi udang yang kami pernah jalankan ketika PKP pertama tahun lalu.

"Alhamdulillah, sambutan masih menggalakkan. Namun, jika sebelum ini kami siapkan lebih 100 pesanan sehari, tapi kali ini kami hadkan kepada 60 pesanan sehari," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ezzaty berkata, dia dan suaminya merujuk kepada pihak berkuasa dan menghantar sendiri pesanan-pesanan pelanggan mereka.

"Sebelum ini, kami menggunakan khidmat ada 12 penghantar. Namun, agak leceh juga apabila kena siapkan surat kebenaran dan sebagainya dan harga petrol juga semakin mahal. Jadi, kalau kami naikkan caj penghantaran, nanti kasihan pula pelanggan kami.

"Jadi, saya dan suami ambil keputusan untuk berpecah dan menghantar sendiri pesanan pelanggan di sekitar Lembah Klang. Kami pun ada merujuk kepada pihak berkuasa dan dapatkan surat kebenaran kerana tak mahu melanggar undang-undang," katanya.

Selain itu, dia dan suami juga mengusahakan produk pes sambal serba guna.

Terbaru, Ezzaty sempat menghabiskan penggambaran telefilem Pai Kuasa Dua, sehari sebelum PKP dimulakan.

Drama lakonannya, Rahimah Tanpa Rahim dan The Maid juga kini sedang ditayangkan masing-masing di TV3 dan Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 3:48 PM