EZZATY bersyukur drama Korban Kasih dapat perhatian ramai penonton.
EZZATY bersyukur drama Korban Kasih dapat perhatian ramai penonton.
Syafil Syazwan Jefri


SELAIN amal ibadah serta kisah kenangan, Ramadan juga diisi pelbagai drama menarik di kaca TV.

Tahun ini, antara drama bersiri yang mengisi jadual Ramadan, sekali gus menjadi bualan ramai ialah Korban Kasih di TV1 yang diadaptasikan daripada novel.

Salah seorang pelakonnya, Ezzaty Abdullah tidak menyangka drama itu mendapat sambutan sehingga menjadi sohor kini di beberapa platform media sosial.

"Tahun lalu, saya membintangi drama bersiri 4 Penjuru dan alhamdulillah, sambutannya menggalakkan. Tahun ini, sekali lagi rezeki buat drama yang saya bintangi apabila mendapat perhatian ramai penonton," katanya.

Menurutnya, tema kekeluargaan mungkin menjadi faktor drama ini mendapat sambutan penonton.

"Drama ini berkisar mengenai kisah kekeluargaan dan dekat dengan penonton kita. Mungkin ini sebab ia mendapat perhatian dan ditonton ramai.

"Satu lagi daya penarik mungkin kerana ia kisah yang diangkat daripada novel popular. Jadi, secara tak langsung, mereka yang sudah membaca novelnya tentu ingin menonton jalan ceritanya dalam bentuk visual.

"Sejujurnya, saya sendiri terkejut dan pada masa sama, gembira kerana karya lakonan saya mendapat sambutan. Ramai yang memaklumkan, mereka suka dengan jalan cerita dan watak dalam Korban Kasih," katanya.

Ezzaty sebagai pelakon juga mengakui sangat gembira dapat beraksi dalam drama arahan Mohd Fazli Yahya atau Pali ini.

"Saya suka untuk berlakon dalam drama kekeluargaan kerana aura ketika berada di set sangat positif. Ketika berada di set Korban Kasih pun, perasaan gembira tak dapat saya gambarkan.

"Lebih menarik ialah Abang Pali akan memasak setiap hari sepanjang kami berada di lokasi sampaikan berat badan kami semua naik. Saya sendiri pun naik empat kilogram kerana masakannya sedap," katanya.

Ditanya mengenai isu usia pelakon yang nampak seperti tidak sesuai dengan watak, Ezzaty menganggap itu perkara biasa dalam lakonan.

"Pada saya, apa yang lebih penting adalah cara kita membawa watak yang diberikan. Kalau watak yang dipegang itu lebih berusia, kita cuba jayakannya sebaik mungkin.

"Kalau orang yang tak kenal kami sebagai pelakon contohnya, kalau drama ini ditayangkan di luar negara, tentunya isu berkaitan usia tidak akan timbul. Jadi, tak jadi masalah pun sebenarnya," katanya.

Dek kerana penangan drama itu juga, Ezzaty kini mendapat nama panggilan baru dalam kalangan peminat dan pengikut di Instagramnya.

"Ramai memanggil saya dengan Kak Long kerana watak saya sebagai Kak Long Aziah dalam drama itu. Saya terima dengan hati terbuka kerana itu tandanya mereka menonton drama Korban Kasih.

"Sejak minggu lalu, saya mula berniaga mi udang untuk mengisi waktu sepanjang Ramadan. Jadi, bila saya buat penghantaran kepada pelanggan, ramai yang menegur saya dengan panggilan Kak Long," katanya.

Berkongsi mengenai mi udang masakannya, Ezzaty pada awalnya sekadar memasak untuk keluarga dan untuk diberikan kepada jiran.

"Apabila mereka rasa, ramai yang berikan maklum balas positif dan suruh saya jual. Jadi, saya berbincang dengan suami dan dia bersetuju untuk kami berniaga mi udang," katanya.

Selain Ezzaty, drama Korban Kasih turut dibintangi Saharul Ridzwan, Azrel Ismail, Zara Zya, Dynas Mokhtar, Hasnul Rahmat, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Sheila Mambo dan Ummi Nazeera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 6:00 AM