Anggota kumpulan Eternity. FOTO Pulse9
Anggota kumpulan Eternity. FOTO Pulse9
Agensi

Seoul: Syarikat gergasi hiburan Korea Selatan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memastikan artis kekal relevan dalam industri.

Sebagai contohnya, mereka mencipta Eternity, kumpulan idola K-pop maya terdiri daripada 11 ahli.

Sekali pandang, Eternity kelihatan seperti satu lagi kumpulan K-pop wanita.

Mereka mempunyai penampilan seperti gadis comel dan muda yang menyanyikan lagu dan menari dalam video penuh warna-warni

Hakikatnya, 11 anggotanya adalah avatar hiper-realistik yang dicipta dengan teknologi AI.

Dicipta pada tahun 2021 oleh syarikat teknologi pembelajaran mendalam Korea Selatan Pulse9, Eternity diilhamkan sebagai gambaran masa depan K-pop.

Ketua Pegawai Eksekutif Pulse9, Park Jieun berkata, Eternity ialah cabang perniagaan baharu.

"Saya rasa ia adalah genre baharu.

"Kelebihan mempunyai artis maya ialah mereka bukan macam manusia kerana bintang K-pop sering bergelut dengan batasan fizikal atau tekanan mental kerana mereka adalah manusia," katanya kepada BBC.

SEBAHAGIAN anggota Eternity membuat persembahan. FOTO Pulse9
SEBAHAGIAN anggota Eternity membuat persembahan. FOTO Pulse9

Katanya, pihaknya menjana 101 wajah wanita menggunakan Deep Real AI, teknologi pengimejan maya dalam proprietari berdasarkan empat ciri utama iaitu comel, seksi, tidak bersalah dan pintar.

"Kemudian kita meminta sebilangan peminat K-pop mengundi kegemaran mereka dan meminta pereka menjiwai ahli kumpulan idola mengikut 'watak' yang menang," katanya.

Sama seperti bintang K-pop sebenar, selain daripada membuat persembahan berkumpulan, Pulse9 mempunyai rancangan untuk membolehkan anggota Eternity memulakan projek solo dan bekerja sebagai pempengaruh dalam talian dan model jenama.

Salah seorang daripada 11 anggota kumpulan itu sudah pun muncul dalam iklan sebuah firma di Korea Selatan.

Eternity sudah mengeluarkan beberapa video muzik, namun masih ada kelemahan terutama apabila mereka menyanyi kita boleh mengetahui pergerakan mulut mereka tidak selari dengan suara.

Untuk rekod, Eternity bukanlah satu-satunya kumpulan K-pop maya dari Korea Selatan.

Beberapa tahun lalu, kumpulan gadis K-pop Aespa yang dianggotai lapan orang membuat penampilan sulungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:24 PM