PELAWAK veteran Jamali Shada.
PELAWAK veteran Jamali Shada.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur": "Kami sekeluarga tak marah atau ambil hati dengan apa yang terjadi, cuma harap ia tak berlaku lagi. Sepatutnya berita yang tak pasti, jangan dikongsi. Tanya dulu kepada sumber yang sahih sebelum berkongsi kepada orang lain," kata anak pelawak veteran Jamali Shadat iaitu Fauzi Jamali mengenai tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan berita pelsu mengenai pelawak itu sudah meninggal dunia.

Fauzi yang juga anak keenam pelawak popular itu ketika dihubungi berkata, seluruh ahli keluarga terkejut dengan penularan berita itu yang dikongsi netizen di media sosial, sejak malam tadi. 

Menurutnya, berita palsu itu membuatkan dia dan isteri dihujani panggilan telefon dan mesej daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan media.

"Memang agak terkejut dengan penyebaran berita palsu itu, tapi zaman viral sekarang ini memang susah nak mengenal pasti dalang di sebaliknya. Telefon saya dari malam tadi tak berhenti dihubungi orang yang bertanya mengenai kesahihan berita itu. Sampaikan orang gaji yang pernah menjaga ayah sebelum ini pun hubungi saya sedangkan dia berada di Indonesia ketika ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fauzi, keadaan bapanya yang uzur dan kurang selera makan beberapa hari lalu mula menunjukkan perubahan positif. 

"Keadaan ayah memang agak uzur sekarang tapi dua tiga hari ini dia nampak okey sikit apabila dah ada selera makan sedikit. 

"Setiap tiga jam, kami akan sambung memberinya makan sebab dia makan sudah tak banyak. Sekali makan dia mampu makan dalam lima ke enam suap saja. Jadi kami terpaksa memberinya berulang kali," katanya. 

Terdahulu Harian Metro melaporkan Jamali, 78, yang cukup dikenali dengan watak Atan pada era 1970-an dan 1980-an semakin uzur dan kurang selera makan.

Sejak pemergian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, bagai hilang semangat.

Beliau banyak berdiam diri dan bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri.

Jamali menetap bersama Fauzi di Pulau Indah, Klang bersama menantu dan lima anak mereka.

Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 3:10 PM