SHAHRIZA
SHAHRIZA
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Assalamualaikum semua, sekadar nak 'update' status untuk kak Shahriza, yeay dia dah pindah wad. Dia dah keluar dari wad ICU (Unit Rawatan Rapi)," kata Saddiq Raffali, suami pelakon Shahriza Mahmud berkenaan situasi terkini isteri kesayangannya.

Menerusi kiriman video itu, Saddiq, 40, yang kelihatan gembira berkata,  Shahriza bagaimanapun belum boleh menerima kunjungan tetamu buat masa ini.

"Sekarang, dia di wad 4A. Tapi masih lagi tak boleh lawat dia sebab swab test kedua belum ada keputusan. Tapi, dia dah keluar ICU, Alhamdulillah dan terima kasih semua. Malah, saya tahu dia (Shahriza) pejuang yang kuat ," katanya.

Semalam, Saddiq memberitahu isterinya sudah tidak demam berbanding beberapa hari sebelumnya.

Bahkan, Saddiq juga memaklumkan doktor kaan memaklumkan jadual pemeriksaan 'ultrasound' untuk melihat bahagian abdomen Isterinya. 

Terdahulu, Shahriza, 55, dimasukkan ke Hospital Putrajaya, Ahad lalu akibat demam panas selain meracau.

Pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman pada darah dan paru-parunya serta dia diberikan ubat antibiotik yang paling kuat.

Keadaan Shahriza juga dilaporkan kritikal apabila masih tidak sedarkan diri sehinggalah menunjukkan maklum balas positif, semalam.

Apapun, Saddiq sangat berterima kasih dengan keprihatinan semua pihak terhadap isterinya dan menyeru mereka terus memberi sokongan dan mendoakan kesembuhan Shahriza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:08 PM