Shahriza (kiri) harap dapat berjalan semula.
Shahriza (kiri) harap dapat berjalan semula.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Dulu saya sasarkan boleh berjalan sebelum Mei tapi dengan keadaan sekarang lambat lagilah."

Itu kata pelakon Shahriza Mahmud, 55, yang mengulas keadaan kesihatannya selepas pulih dari demam dan jangkitan kuman pada darah serta paru-paru awal tahun ini.

Menurut Shahriza, dia masih belum boleh berjalan dan kaki kirinya mengalami sakit dibahagian saraf serta lemah.

"Saya optimis akan boleh berjalan tapi tak tahulah bila. Apabila sudah terlampau lama tak berjalan dan bergerak selepas keluar hospital, otot kaki pun sudah tiada, jadi lembik dan kaki jadi kecil.

"Masa keluar hospital kali pertama, kaki kiri masih kebas dan tiada rasa. Selepas keluar kali kedua, barulah muncul masalah saraf.

"Sakitnya sukar digambar dan diungkapkan sehingga pada tahap maksima. Kalau doktor suruh makan empat biji pil tahan sakit pun, takkan hilang," katanya kepada Harian Metro.

Shahriza berkata, bagi menahan sakit dia perlu membengkokkan kaki.

"Tapi masih lagi sakit. Saya cuba nak tahan sakit tapi apabila sudah setiap masa bengkokkan kaki, nak gerakkan kaki ke kiri kanan dan nak tidur pun susah.

"Saya pun tak tahu cara ini tak bagus kerana tiada yang maklumkan. Apabila nak buat fisioterapi dan berjalan, kaki yang dibengkokkan tak boleh diluruskan.

"Ia keras dan terkunci di bahagian lutut dan susah nak diluruskan. Sampai sekarang pun masih tak dapat lurus 100 peratus," katanya.

Kini hanya kaki kanan Shahriza yang berfungsi dan dia terpaksa menggunakan tongkat untuk berdiri dan berjalan ke kerusi roda.

"Memang penat apabila asyik guna kaki kanan. Saya amalkan minum susu untuk tumbesaran semula otot. Ada nampak perubahan tapi tetap tak boleh jalan.

"Apabila pijak bukan saja lemah tapi sangat sakit. Saya tetap paksa buat tapi perkembangannya sangat lambat.

"Secara purata saya demam banyak kali. Selepas keluar hospital saya demam tiga kali dan termasuk koma adalah lima kali," katanya.

Dia baru sahaja demam pada Ramadan lalu dan disusuli pula masalah tidak lawas buang air kecil.

"Saya makan ubat dan baru nak okay, jadi pula alergik di badan. Ia terjadi sejak saya koma lagi tapi sudah hilang. Tak tahu apa sebabnya kerana berpunca dari dalam.

"Timbul bintik merah dan tak boleh kawal miangnya. Sekarang pun bibir dan mata saya bengkak.

"Sepatutnya saya sudah dapat vaksin Covid-19 tapi terpaksa ditolak kerana saya tak sihat dan lemah," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Shahriza dikejarkan ke Hospital Putrajaya, awal Januari

lalu akibat demam panas selain meracau.

Pemeriksaan doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada darah dan paru-paru dan dia diberikan ubat antibiotik yang paling kuat.

Keadaannya juga dilaporkan kritikal apabila masih tidak sedarkan diri sehinggalah menunjukkan respon positif dan dibenarkan keluar pada penghujung Januari.

#kw Shahriza Mahmud

#loc Kuala Lumpur

End

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 2:42 PM