Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Bangun pagi tadi, dia terus beritahu teringin nak makan ayam masak merah masakan mak (ummi) saya," kata Saddiq Raffali, suami pelakon Shahriza Mahmud mengulas situasi terkini isterinya.

Bagaimanapun, menurut Saddiq, 40, dia belum dapat memenuhi keinginan Shahriza, 55, apabila isterinya itu mengadu sakit perut.

"Saya sedang tunggu keputusan 'ultrasound' yang dijadualkan diketahui hari ini. Jika keputusannya okay, barulah saya akan penuhi permintaannya. Doktor pun masih lagi bagi makanan dalam bentuk cecair. Shahriza sudah sedar sepenuhnya dan boleh menggunakan telefon. Kami hanya berhubung menerusi telefon kerana saya masih belum dibenarkan melawat. Saya boleh hantar makanan tapi hanya diserahkan menerusi pengawal keselamatan yang akan hantar kepada pesakit," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Shariza menjalani sesi fisioterapi hari ini untuk menguatkan semula kakinya.

"Doakan agar semuanya berjalan lancar. Terima kasih atas sokongan suami terhadap isteri saya," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Shahriza dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Ahad lalu akibat demam panas selain meracau.

Pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman pada darah dan paru-paru dan dia diberikan ubat antibiotik yang paling kuat.

Keadaannya juga dilaporkan kritikal apabila masih tidak sedarkan diri sehinggalah menunjukkan respon positif Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 4:59 PM