INTEAM aktif menghiburkan peminat secara dalam talian.
INTEAM aktif menghiburkan peminat secara dalam talian.
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK keterlaluan dikatakan kumpulan nasyid, Inteam agak aktif berkarya dan mengadakan aktiviti biarpun dalam keadaan pandemik Covid-19 masih melanda negara sekarang.

Kumpulan dianggotai empat anggota iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman itu baharu sahaja tampil mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-20 mereka pada hujung tahun lalu.

Mereka agak beruntung kerana Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati yang berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor menerima bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Terbaharu, Inteam kini tampil dengan single berjudul Terima Kasih hasil karya Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik oleh Ikhwan Fatanna.

BERDUET dengan Ikhwan Fatanna dalam lagu Terima Kasih.
BERDUET dengan Ikhwan Fatanna dalam lagu Terima Kasih.

Ia dilancarkan di seluruh platform digital sehari selepas konsert 20 tahun itu selesai iaitu pada 13 Disember tahun lalu.

Ketua kumpulannya, Syahril berkata, lagu itu memberi makna tersendiri buat Inteam yang terus bertahan dengan sokongan peminat.

"Kami melancarkan lagu baharu ini sebagai hadiah dan tanda penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang banyak menyokong kami sehingga mampu bertahan sehingga hari ini.

"Terima kasih kami zahirkan khususnya untuk kumpulan Hijjaz, penggiat seni belakang tabir, media serta seluruh peminat dan ahli keluarga kami yang sangat memahami.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mengalunkan karya gandingan dua komposer muda yang sedang meningkat ini.

"Bahkan kami juga dapat berduet dengan Ikhwan Fatanna dalam lagu ini. Ia sebagai simbolik gabungan generasi lama dan baharu dalam dunia nasyid," katanya.

Menurutnya, bait-bait lirik lagu Terima Kasih juga sesuai didedikasikan kepada petugas barisan hadapan yang berhempas-pulas menyelamatkan mangsa wabak Covid-19 dalam memutuskan rangkaian kes wabak ini.

"Lagu ini juga kami tujukan kepada semua petugas barisan hadapan yang berusaha dan berjuang untuk kita semua supaya mereka terus bersemangat dan cekal bertugas.

"Kita juga perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar supaya wabak ini dapat dihentikan segera," katanya.

Muzik video lagu Terima Kasih boleh ditonton di rangkaian Youtube Inteam Digital, manakala audio lagu ini boleh distrim di seluruh platform Digital seperti Spotify, Deezer, KKBox, Joox dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:18 AM