ALIF Satar mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan kesihatan Pak Wan tempoh hari. FOTO IG Alif Satar
ALIF Satar mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan kesihatan Pak Wan tempoh hari. FOTO IG Alif Satar
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Alif Satar berkongsi berita gembira mengenai datuknya, Mohamad Che Noh yang sudah sihat dan dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat positif Covid-19. 

Dalam hantaran di Instagram (IG), Alif berkongsi foto datuknya yang dipanggil Pak Wan sedang memasuki kenderaan untuk pulang,  di samping memuji  kebesaran Allah. 

"Itu Pak Wan saya, pesakit Covid-19 berusia 91 tahun yang sudah sembuh, duduk di dalam kereta untuk pulang ke rumah!

"Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar," tulisnya. 

Dalam hantaran itu juga, Alif turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kesihatan datuknya. 

"Terima kasih buat semua yang mendoakan kesihatan Pak Wan tempoh hari. Semoga Allah SWT membalas jasa baik anda semua," tulisnya. 

Alif kini masih lagi berada di Melaka dan menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19 minggu lalu. 

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Pak Wan dirawat di hospital bersama ibu, bapa dan adik bongsu Alif yang juga dijangkiti Covid-19 selepas disahkan positif pada Sabtu lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 12:20 PM