NORMALA OMAR
NORMALA OMAR
Ridzuan Abdul Rahman

 

"Mama dapat bunga daripada adik lelaki kami, Zabaiq sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-63, semalam dan dia sangat gembira," kata Norzaza, anak kedua pasangan pelakon Allahyarham Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar. 

Norzaza berkata, ibunya memberitahu teringatkan arwah bapa mereka yang setiap tahun akan menghadiahkannya bunga segar sebagai tanda kasih sayang dan ingatan sempena hari jadi.

"Sewaktu kami dan papa pergi Perlis sebelum ini, dia ada berbual dengan adik bongsu, Zabaiq (Mohd Noor Zabaiq) berkenaan perkara ini. Papa pernah kata, sekiranya dia dah tiada nanti, tidak ada lagi orang nak bagi bunga kat mama pada hari ulang tahun kelahirannya.  

"Zabaiq jawab tak mengapa, dia akan belikan dan buat seperti yang papa buat. Papa pun pesan Zabaiq buat perkara ini untuk mamanya. Kiranya tahun ini mama terima kejutan dapat bunga 'pemberian papa' menerusi Zabaiq," kata Norzaza kepada Harian Metro.

Menurutnya, walaupun ibunya sedih dan terharu, dia tetap gembira diraikan oleh anak-anak, menantu dan cucu-cucunya.

"Kami cuba gembirakan mama seboleh mungkin. Ikutkan, kami memang tak rancang pun kerana sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun kebetulan mama ada temu janji di hospital UiTM Sungai Buloh hari sebelumnya. Jadi saya terus 'decide' untuk kami tidur di rumah kak Zizie (Norzizi) di Denai Alam. 

"Adik beradik lain pun kebetulan tinggal berdekatan Shah Alam. Dari situlah kami rancang nak buat majlis untuk mama. Bila kami semua berkumpul begini untuk meraikannya, mama rasa gembira. Sekurang-kurangnya terubat juga kesedihannya biarpun sambut tanpa papa disisinya," katanya. 

Pemergian Zulkifli pada 5 September lalu dianggap sebagai kehilangan besar buat Normala kerana hubungan cinta mereka yang kekal utuh sejak berkahwin lebih 40 tahun lalu. 

Pasangan ini mempunyai lima anak iaitu Dr Norzizi, 44; Norzaza, 38; Norzazila, 36; Norzazleen, 33; dan Mohd Noor Zabaiq, 29.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:39 PM