BERSAMA anak dan menantu.
BERSAMA anak dan menantu.
Nor Akmar Samudin


“Dulu, masa anak masih kecil, saya dan isteri membawa bakul berisi susu dan lampin pakai buang mereka tapi sekarang mereka yang menyalin lampin dan menyuapkan kami makan...”.

Demikuan luah pelakon veteran Datuk Zulkifli Zain, 71, yang diserang a­ngin ahmar, Januari tahun lalu, menyebabkannya lumpuh tangan serta kaki kiri.

Sementara isterinya, Datin Normala Omar, 60, pula patah kaki kiri kerana terjauh dari katil, sebulan selepas itu dan mereka berdua kini hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

Apabila Zulkifli duduk bersendirian dan mengenangkan keadaan dirinya yang bergantung sepenuh­nya dengan pada anak, dia pasti menangis.

“Saya dan Normala suka berjumpa kawan dan berjalan-jalan. Apabila jadi macam ini, saya rasa sunyi kerana kawan yang rapat dengan saya dulu usahkan nak datang melawat, telefon tanya khabar pun tidak.

“Mereka yang kerap datang ke rumah, Hail Amir dan Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) serta isterinya, Mak Ngah. Pada bulan puasa ini, Pak Ngah kerap datang berbuka dan bersahur dengan kami.

“Dalam perjalanan ke rumah dia mesti berta­nya saya nak makan apa. Ada saja makanan yang dibawanya kalau datang,” katanya. Memang dulu lagi Zul dan Pak Ngah rapat berkawan kerana menjadi artis budaya.

Menurut Zulkifli lagi, pada Ramadan ini, dia dan Normala ada juga terima undangan berbuka puasa.

Kata Normala, apabila dia melihat suaminya bersedih dan termenung, dia akan cuba memujuk.

“Saya kata padanya, apa yang kami lalui ini adalah takdir daripada Allah SWT dan kita kenalah reda. Saya sendiri tak mahu jadi begini dan selalu berdoa janganlah apabila tua, kami menyusahkan anak namun Allah SWT akhirnya menyatukan kami sekeluarga.

“Alhamdulilah, apabila kami uzur begini, Zizi (Norzizi) panggil semua adiknya tinggal di rumah­nya untuk menjaga kami. Syukur kerana kami juga dapat menantu yang sangat baik.

“Keadaan sangat berubah. Sekarang anak yang memakaikan kami baju,” kata Normala pelakon siri Opah dan filem Sesejuk Airmata Ibu.

Ujar Zizi yang sedang menyiapkan tesis doktor falsafah di Universiti Wol­longong, Australia pula, dia amat berterima kasih kepada suaminya, Bayu Utomo yang mengizinkan dia mengajak semua adiknya tinggal di rumah mereka di Denai Alam, Shah Alam selain adik ipar, Taiyuddin Bakar serta Rizal Badri yang membenarkan isteri mereka tinggal di rumah itu.

Zulkifli dan Normala dikurniakan lima cahaya mata, Norzizi, 41, Norzaza, 36, Nor Zazila, 34, Nor Zaz­leen, 31, dan Mohd Noor Zabaiq, 27.

Semua anak perempuannya sudah berkahwin dan mereka memiliki lima cucu.

Kata Zulkifli lagi, Zizi yang mengatur jadual mereka lima beradik, siapa yang memasak, mengemas rumah dan bawa mereka suami isteri mendapatkan rawatan ke hospital.

“Kepada mereka yang masih ada ibu bapa, jagalah mereka dengan baik dan tidak guna menyesal kalau mereka sudah tiada lagi,” pesan pelakon filem Jiwa Remaja, Potret Maria dan Penentuan ini.

Pada hari raya ini, Zulkifli bersama anak akan balik beraya di rumah pusaka tinggalan ibu bapanya di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah. Zizi sekeluarga pula beraya di kampung suaminya di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 3:01 AM