Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 74, atau dikenali dengan panggilan Bentayan meninggal dunia di kediamannya akibat kegagalan buah pinggang, 7.18 malam tadi.

Perkara itu disahkan anaknya, pelakon, Dr Norzizi, 43.

Menurutnya, Allahyarham bapanya meninggal dunia dengan tenang di sisi keluarga.

"Ayah memang tak sihat sejak Isnin lalu dan kami merancang untuk menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, tak sangka ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga ketika azan Maghrib tadi," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga reda dengan kematian bapanya dan berterima kasih dengan semua orang yang mendoakan kesihatan Allahyarham selama ini.

Norzizi berkata, kali terakhir bapanya sakit dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital pada Mac lalu. 

Jenazah akan dikebumi esok selepas Zuhur  di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Mengimbas latar belakangnya, Zulkifli di era kegemilangan pernah membintangi drama Tragedi Seri Mersing pada 1985 dan sangat dikenali dengan watak Bentayan.

Bertemu jodoh dengan Datin Normala Omar yang juga pelakon drama Opah sekitar 1975, pasangan bahagia itu dikurniakan lima cahaya mata.

Selain Dr Norzizi, adik beradiknya yang lain ialah Norzaza, 38, Norzazila, 36, Norzazleen, 33, dan Mohd Noor Zabaiq, 29.

Pada sekitar era 1970-an dan 1980-an, Zulkifli pernah membintangi filem Jiwa Remaja, Potret Maria, Penentuan dan banyak lagi.

Berasal dari Alor Setar, Kedah, di atas sumbangan pada karier seni diceburi, Zulkifli dianugerahkan gelaran Datuk oleh kerajaan negeri Kedah.

Berita berkaitan

Zukifli Zain meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 10:42 PM