WALAUPUN mampu membawa pelbagai watak, Amerul sering disisihkan atas faktor penguasaan pengikut di media sosial.
WALAUPUN mampu membawa pelbagai watak, Amerul sering disisihkan atas faktor penguasaan pengikut di media sosial.
Ridzuan Abdul Rahman

SEMUA watak yang diberikan kepadanya sebelum ini berjaya dibawakan dengan baik. Namun, amat malang buat Amerul Affendi, 34, yang seringkali disisihkan kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh stesen televisyen.

Mujurlah segelintir pembikin filem dan pengarah yang 'celik mata' tetap menawarkannya projek lakonan antaranya, filem One Two Jaga, Polis Evo dan Mencari Rahmat.

Amerul yang menyedari' pilih kasih' membabitkan dirinya ternyata berani bersuara meluahkan kekecewaan dirasaiinya menerusi Twitter pada Julai lalu.

Dia membangkitkan isu pengikut Instagramnya yang tidak mencecah 500,000 sebagai punca tidak diterima berlakon.

"Jumlah pengikut saya turun naik ikut keadaan. Saya luahkan kerana nak tengok benda ini berubah. Sampai bila mereka akan bermain dengan isu begini.

"Ia bukan untuk saya sahaja, tapi untuk generasi yang akan keluar dari pusat pengajian atau pun yang betul-betul nak jadikan lakonan sebagai kerjaya.

"Alhamdullilah, ia berjaya membuka mata masyarakat untuk tahu macam mana keadaan industri kita. Orang industri juga seperti penerbit sedar mengenai apa yang berlaku.

"Masyarakat dan penonton dah pandai dan mahukan cerita yang bagus untuk ditonton," katanya.

AMERUL akan pastikan sentiasa ada masa bersama isteri.
AMERUL akan pastikan sentiasa ada masa bersama isteri.

Usahawan tani dan ternak

Amerul yang sudah berkahwin, bagaimanapun tidak mengharapkan pendapatan daripada lakonan semata-mata kerana mempunyai ternakan dan ladang sendiri di tempat kelahirannya di Temerloh, Pahang.

"Alhamdulillah, saya ada ladang sawit, ternakan kerbau 20 ekor dan ikan patin ternak. Jualan diperoleh daripada ikan patin ikut musim iaitu satu musim imerangkumi sekitar enam bulan,bolehlah dapat RM20,000.

"Tak kaya raya, tapi dapatlah untuk tampung hidup. Saya usahakan ini kerana ayah ada tanah dua ekar untuk kerbau , manakala tanaman sawit pula empat ekar.

"Semuanya saya uruskan sendiri dengan bantuan orang kampung yang digajikan.

Tak susah pasarkan hasil kerana dapat kerjasama agensi kerajaan," katanya.

Amerul berkata, satu kelebihannya apabila orang gembira dapat berjumpa dengannya kerana dia menghantar sendiri hasil kepada pelanggan.

"Saya tak terfikir soal status, darjat seorang selebriti atau glamor. Saya selesa buat sahaja, termasuk pernahjuga berniaga di Pekan Sehari Temerloh.

"Bidang ini adalah fokus saya dan lakonan kini sebagai hobi. Itu lebih baik buat saya tak rasa kecewa dengan industri yang sampai bila masih tak berubah," katanya.

Dalam kesibukan menguruskan ladang dan ternakan, Amirul sentiasa memastikan dia tetap ada masa untuk bersama isteri dan keluarganya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:21 AM