AMERUL AFFENDI
AMERUL AFFENDI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber, Amerul Affendi, 35, memaklumkan dia kini dalam pemantauan doktor dan pihak hospital untuk pengambilan dos kedua vaksin Pfizer atau tukar kepada vaksin lain apabila mengalami gejala teruk selepas menerima suntikan dos pertama, Julai lalu.

Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi berkata, selepas menerima dos pertama, seluruh badannya mengalami ruam serta mengalami masalah lelah.

Selain itu, dia juga kembali mengalami masalah alah kepada makanan laut yang pernah dihidapinya ketika berusia 14 tahun dulu.

"Kini, dua penyakit lama itu datang kembali dan masalah saya terhadap vaksin ini boleh dikatakan kes terpencil dan jarang-jarang berlaku kepada penerima vaksin lain. Cuma, ketika itu mungkin saya yang kurang bernasib baik," katanya kepada Harian Metro.

Disebabkan masalah kesihatan tidak diduga itu menyebabkan Amerul terpaksa melepaskan watak Abu lakonannya dan diganti oleh pelakon Aloy Paradoks dalam drama bersiri Jangan Ganggu Jodohku yang akan mula ditayangkan Isnin ini.

Amerul hanya dapat berlakon dalam 10 episod drama itu saja.

Mengulas status vaksin dos keduanya, Amerul berkata, ia masih lagi dalam pemantauan doktor dan pihak hospital, tetapi dia masih boleh menerima tawaran berlakon dengan mana-mana produksi yang berminat dan memerlukan khidmatnya.

"Saya boleh saja berlakon kerana ada surat kebenaran daripada doktor yang memaklumkan mengenai masalah kesihatan dialami dan ia dikeluarkan oleh hospital kerajaan. Memang tiada masalah untuk pihak produksi menawarkan projek lakonan kepada saya.

"Cuma, hingga kini saya memang belum lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19 di atas sebab tertentu berikutan masalah dialami yang mengganggu kesihatan saya. Apapun, saya sentiasa positif dan akur bahawa ini ujian daripada Allah yang harus dihadapi," katanya.

Amerul yang pernah dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 bagaimanapun kini memilih menjadikan karier lakonan sebagai hobi dan bukan lagi sepenuh masa.

Malah, Amerul yang berasal dari Temerloh, Pahang kini lebih selesa meletakkan fokusnya kepada bidang pertanian dan penternakan yang diceburi sejak beberapa tahun lalu walaupun mutu lakonannya sentiasa mendapat pujian ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:36 PM