AMERUL gigih kumpul dana untuk bina madrasah. FOTO - Arkib NSTP.
AMERUL gigih kumpul dana untuk bina madrasah. FOTO - Arkib NSTP.
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Amerul Affendi memasang impian untuk membina sebuah madrasah di kampung halamannya di Temerloh, Pahang.

Amerul yang menyerlah dengan filem Bunohan, Polis Evo, Terbaik Dari Langit dan One Two Jaga berkata, selain akan digunakan untuk aktiviti agama, dia juga berhasrat menghidupkan aktiviti kesenian di sana.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Cuma saya masih lagi mengumpul dana yang cukup untuk melengkapkan pembinaan madrasah ini.

“Saya percaya apabila sebut madrasah, orang akan terfikir mengenai aktiviti keagamaan yang akan dijalankan di situ. Bagaimanapun saya cuba keluar dari kepompong dengan melakukan sebaliknya dan bercadang memeriahkannya dengan aktiviti kesenian seperti teater, muzik dan sebagainya yang sesuai dari sudut Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Amerul enggan menjelaskan kos sebenar yang diperlukan untuk pembinaan madrasah berkenaan tetapi berkata, kosnya agak besar.

“Boleh dikatakan mencecah ratusan ribu juga. Ia akan dibina diatas tanah milik ayah saya. Setakat ini saya belum memohon sebarang bantuan daripada kerajaan negeri. Kalau boleh saya dan kawan-kawan mahu berdikari membinanya kerana mahu membentuk semangat setia kawan antara kami.

“Kalau boleh kami tak mahu membabitkan pihak luar kerana takut nanti timbul pelbagai masalah,” katanya.

Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi berkata, rezekinya dalam bidang lakonan juga semakin bertambah berbanding dulu.

“Pada awal kemunculan dulu memang saya kurang dapat tawaran berlakon kerana nama saya tak diterima oleh stesen TV tertentu.

“Alhamdulillah situasinya berbeza apabila mereka lihat lakonan saya dalam beberapa drama dan filem yang dibintangi dan buka mata serta terbuka hati ambil berlakon. Saya kini terbabit dengan drama bersiri berjudul Sembilan dan beberapa projek drama lain,” katanya.

Bagaimanapun, Amerul masih meneliti keberkesanan sesuatu skrip sebelum bersedia menerima tawaran berlakon.

“Saya kena tengok juga skrip dan siapa pelakonnya kerana saya nak bekerja dengan orang yang bagus. Setakat ini saya masih diberikan watak yang sama iaitu watak jahat dan separa komedi.

“Penerbit dan pengarah kena ikut kehendak penonton. Minda kita juga terikat dengan pemikiran seseorang pelakon hanya boleh bawa watak yang sama saja. Ia bukan saja berlaku di negara kita tapi juga di luar. Apapun saya kena terima kerana ia sumber pendapatan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 5:28 PM