NADIA Najwa Mohamad Rashidi atau dikenali Nadia brian bersama suami, Abdul Mu'izz Mohamad Nasruddin. FOTO arkib NSTP
NADIA Najwa Mohamad Rashidi atau dikenali Nadia brian bersama suami, Abdul Mu'izz Mohamad Nasruddin. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri


TEKA-teki mengenai pergolakan rumah tangga pelakon Nadia Brian dan suaminya, Muizz Nasruddin akhirnya terjawab apabila mereka sudah tiga bulan tinggal berasingan.

Muizz ketika dihubungi berkata, dia sudah cuba sedaya-upaya menyelamatkan rumah tangga mereka, namun menemui jalan buntu.

"Status kami sehingga kini masih suami isteri, tapi hampir tiga bulan isteri tidak tinggal bersama di rumah saya. Saya tak pernah halau dia dan sudah berkali-kali meminta dia balik tapi dia tidak mahu," katanya kepada Harian Metro.

Muizz yang berkahwin dengan Nadia kurang setahun lalu berkata, ketika ini isterinya tinggal di rumah ibunya.

"Saya cuba untuk menghubungi ibu dan keluarga dia untuk selesaikan masalah, tapi sia-sia. Saya cuba yang terbaik untuk menyelamatkan perkahwinan ini tapi dia tidak memberi kerjasama," katanya.

Menurut Muizz, segala perkongsiannya di Instagram sebelum ini yang mengatakan dirinya dikhianati dan dianiaya itu adalah benar.

"Perkongsian di Instagram sebelum ini memang benar. Saya dihina, dihalau, dikhianati dan dianiaya. Saya ada bukti yang cukup mengatakan isteri saya berlaku curang terhadap saya.

"Saya ambil keputusan untuk keluarkan kenyataan sebab dia sudah berlebihan dengan memalukan saya dan tidak menghormati saya sebagai suami serta keluarga saya.

"Dalam masa sama, dia memberitahu orang dalam industri hiburan semua yang berlaku adalah salah saya kerana tak sediakan kehidupan yang dia mahukan. Saya sangat-sangat kecewa," katanya yang melihat perceraian adalah pilihan terakhir yang dimilikinya.

Terdahulu menerusi laporan Harian Metro , Muizz enggan mengulas mengenai dakwaan pelakon Aidit Noh menjadi orang ketiga dalam hubungan mereka.

Muizz juga sebelum ini ada memuat naik gambar dan kapsyen berbaur kekecewaan sehingga mengundang pertanyaan dalam kalangan netizen berhubung status rumah tangga mereka.

Muizz dan Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 29, mendirikan rumah tangga pada 9 November tahun lalu di Magica Hall, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 12:58 PM