Sudirman Mohd Tahir

INDUSTRI muzik Malaysia kembali rancak apabila figura muzik tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan album terbaharunya, ManifestaSITI2020 pada 3 Julai lalu.

Selepas suram dilanda pandemik Covid-19 yang membadai dunia dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membantutkan aktiviti seni, kemunculan album penyanyi yang mesra disapa sebagai Tok Ti ini datang tepat pada waktunya bagi merancakkan kembali dunia seni.

Album yang mendapat maklum balas positif daripada pendengar muzik tempatan itu bukan sahaja distrim di platform digital, malah album fizikalnya juga laris dijual.

Bersempena pelancaran album itu, Siti turut menjayakan sebuah konsert interaktif dalam talian, Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool pada 21 Julai lalu.

Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool adalah hasil kerjasama di antara Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (SNP) bersama stesen radio Hot FM dan Kool FM. Konsert ini turut didukung Unifi sebagai rakan penyiar rasmi dan Donna sebagai rakan media rasmi.

Konsert yang menelan kos hampir RM180,000 itu mengambil inspirasi daripada konsert dalam talian yang pernah dianjurkan di Korea Selatan dan Thailand.

Menggunakan aplikasi sidang video Zoom, konsert interaktif dalam paparan 360 darjah itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus menjadikan Siti sebagai artis pertama yang terbabit dalam konsert dalam talian berskala besar.

SITI bersama Geng Pagi Hot, (dua dari kiri) Fizie, Syuk dan Shuib.
SITI bersama Geng Pagi Hot, (dua dari kiri) Fizie, Syuk dan Shuib.

Siti berkata, konsert itu adalah kesinambungan daripada aktiviti mempromosikan album terbaharunya selain memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

"Konsert ini adalah kesinambungan daripada aktiviti promosi album ManifestaSITI2020 dan ini adalah pengalaman baharu saya kerana menjayakan sebuah konsert maya yang bersifat interaktif.

"Peminat bukan sekadar boleh menonton persembahan saya dari rumah masing-masing tetapi mereka juga berpeluang berinteraksi dengan saya. Saya berasa sangat berpuas hati kerana dapat menghiburkan peminat yang terpilih di layar Zoom dan ini mendekatkan kami walaupun Malaysia masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, konsert itu diberikan akses terhad kepada 500 peminat terpilih sahaja.

"Konsert ini hanya memberikan akses terhad kepada 500 peminat terpilih menerusi peraduan yang dijalankan oleh radio rasmi Hot FM dan Kool FM, rakan media Donna serta menerusi laman media sosial Siti dan Universal Music Malaysia.

"Walaupun peraduan ini mendapat sambutan hangat peminat, tetapi disebabkan kekangan jumlah maksimum penonton yang dibenarkan aplikasi Zoom, kami hanya boleh memilih 500 orang sahaja.

"Namun, ia masih dikira sebagai skala besar kerana kejayaan memaksimumkan jumlah penonton untuk konsert dalam talian seperti ini, boleh diumpamakan kita berjaya memenuhkan satu panggung," katanya.

SITI ketika persembahan dalam konsert disaksikan 500 peminatnya.
SITI ketika persembahan dalam konsert disaksikan 500 peminatnya.

Dalam pada itu, Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata, konsert itu memberikan satu lagi pengalaman baharu kepada penonton dan pendengar.

"Konsert maya Manifestival Siti Nurhaliza memberi satu pengalaman baharu kepada penonton dan pendengar Hot FM dalam dunia digital di mana peminat yang bertuah dapat berinteraksi bersama penyanyi nombor satu Malaysia walaupun tidak berada secara fizikal di situ.

"Idea konsert maya seperti ini mungkin boleh diteruskan lagi bertepatan dengan kemajuan teknologi digital masa kini," katanya.

Ketua Program Kool FM, Raja Khairil Idris Raja Aznan menjelaskan sambutan yang diberikan pendengar radio itu sangat luar biasa.

"Kool FM memberikan sebanyak 32 pautan akses sebagai hadiah kepada pendengar bertuah bagi menyaksikan konsert ini secara maya dan sambutan yang diterima daripada pendengar amat menggalakkan. Menerusi kerjasama ini juga, Kool FM sudah menjemput Siti ke studio Kool FM bagi mempromosikan album terbaharunya," katanya.

Bagi peminat yang ketinggalan menyaksikan konsert Manifestival Siti Nurhaliza X HotKool baru-baru ini, anda kini boleh menyaksikan video rakaman konsert itu yang akan dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia hari ini bermula jam 7 pagi hingga 9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:50 AM