PENYAMPAI Hot FM, Kool FM, pelakon Filem Pendek Hot FM dan Medley Lagu Raya Kool FM bergambar bersama selepas majlis berbuka puasa di TPC Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PENYAMPAI Hot FM, Kool FM, pelakon Filem Pendek Hot FM dan Medley Lagu Raya Kool FM bergambar bersama selepas majlis berbuka puasa di TPC Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Amirul Haswendy Ashari

Sempena Aidilfitri tahun ini, dua stesen radio popular di bawah Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) iaitu Hot FM dan Kool FM menyediakan beberapa program menarik sepanjang Ramadan dan Syawal.

Bagi pendengar Hot FM, mereka boleh mengikuti filem pendek berjudul Mana Angah? manakala pendengar Kool FM boleh berhibur dengan medley lagu Raya Kool FM.

Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata, setiap tahun pasti ada filem pendek raya disajikan buat peminat industri hiburan dan mencuit hati penonton tempatan.

“Sebagai platform media, Hot FM tidak mahu terlepas menghiburkan pendengar dengan filem pendek untuk Aidilfitri kali ini.

“Filem pendek Mana Angah? membawa mesej sayangi keluarga tidak kira apa pun situasi yang kita hadapi,” katanya.

Ainul berkata, pihaknya berharap penonton terhibur dengan pengisian filem pendek ini yang boleh ditonton di platform YouTube Hot TV bermula 1 Jun lalu.

Mana Angah? menampilkan Shuk sebagai Angah di samping penyampai Hot FM antaranya Ajak, Fizie, Zetty, Deen, Issey, Ammar, Haziq, El dan Sarancak.

Ia turut dibintangi pelakon hebat tanah air seperti Fazlina Ahmad Daud, Jalil Hamid, Eyka Farhana dan Farah Nabilah.

Dalam pada itu, Ketua Program Kool FM, Nik Nor Azura berkata, lagu medley Raya Kool FM menggabungkan beberapa lagu raya popular sepanjang zaman.

“Ia bertepatan dengan ‘tagline’ Temanmu Muzikmu kerana mahu menjadikan lagu ini sebagai peneman setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Tahun lalu, Jamming Hot Raya dan Airmata Syawal memberi impak kepada pendengar dan ia jelas menandakan kedua-dua program raya itu diterima baik,” katanya.

Lagu medley Raya Kool FM menampilkan penyampai Kool FM seperti AG, Haiza, Muaz, Rea, Liza, Andy Hakim dan Ezaq.

Dua penyanyi popular tanah air iaitu Misha Omar dan Lan Solo turut bersama-sama menyampaikan lagu ini yang mula berkemundang sejak 1 Jun lalu.

Antara lagu raya yang digabungkan ialah Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M Nasir), Sesuci Lebaran (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina), Suasana Hari Raya (Allahyarham Datuk Sharifah Aini), Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan Aidilfitri (Sanisah Huri).

Selain program itu, Hot FM dan Kool FM turut perkenalkan beberapa program baru sempena Aidilfitri ini bermula 15 Jun hingga 24 Jun depan.

Melalui Hot FM program Fantastik 4 Raya menggabungkan Wany Hasrita, Naim Daniel, Ara Johari dan Haqiem Rusli, program Al Kisah Raya menampilkan Naim Daniel, Deen, Issey dan Ammar, program Suara Dari Tirai Besi kendalian Ajak.

Selain itu, Soal Sentap Raya (Sherry Alhadad), Dapur Bujang Raya (Shuk dan Fendi Balas), Mark Adam Beraya (Mark Adam), Di Sebalik Lebaran (Tajul), Balik Kampung Saya (Black), Jom Beraya Bersama Aiman Tino dan Fara Hezel, Jangan Marah Cumi Cumi Beraya dan Top 40 Hot Raya.

Bagi Kool FM pula antaranya program Raya Dulu vs Raya Sekarang (Datuk Nassier Wahab dan Naim Daniel), Istimewa Syawal Apa Khabar Artis Kool, Jejak Kool Airmata Syawal, Kool Workout Raya Bersama Liza dan Shiha Zikir, Hero Lebaran (Andy Hakim).

Selain itu, program Dramatik Kool Syawal bersama AG, Muaz dan Haiza dan terakhir, Selingan Lebaran Versi Live yang menampilan persembahan ‘throwback’ konsert GrandSlam, Konsert Awie Live Unplugged, Ziana Zain Unplugged dan Versi Akustik bersama Saleem.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 4:23 AM