FOTO Zizi Kirana bertudung yang dimuat naik di Instagramnya baru-baru ini menerima komen paling banyak. FOTO Instagram Zizi Kirana
FOTO Zizi Kirana bertudung yang dimuat naik di Instagramnya baru-baru ini menerima komen paling banyak. FOTO Instagram Zizi Kirana
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Zizi Kirana, 34, mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pengikut di Instagramnya yang mendoakan supaya dia bertudung.

Zizi bagaimanapun memerlukan sedikit masa untuk mengikhlaskan hatinya sebelum benar-benar berhijrah.

"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan supaya bertudung. Apa yang boleh saya katakan, perlukan waktu untuk benar-benar ikhlas.

"Saya tak mahu kalau nanti pakai tanpa rasa seikhlas hati, akan buka tudung tidak lama selepas itu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada tindakan beberapa artis tempatan membuka tudung, membuatkannya rasa ragu untuk berhijrah, Zizi berkata, dia faham situasi mereka.

"Saya tak menghakimi tindakan mereka kerana tahu, kita tak boleh membaca hati manusia. Setiap penghijrahan itu memerlukan masa.

"Saya lihat apa yang berlaku dari sudut positif dan saya sendiri pun sentiasa menantikan waktunya tiba untuk bertudung," katanya.

Menurutnya, foto bertudung yang dimuat naik di Instagramnya baru-baru ini menerima komen paling banyak dalam kesemua muat naik pernah dikongsikan.

"Saya terima lebih 2,000 komen daripada pengikut dan paling mengejutkan, buat pertama kalinya, hampir kesemua komen adalah positif.

"Jadi, saya pandang setiap pendapat warganet ini dari sudut positif yang mahukan kebaikan untuk diri saya," katanya.

Terbaru, Zizi masih lagi mempromosikan single barunya bersama Altimet, Pendekar Pena.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:03 PM