SITI Sarah Raisuddin. FOTO arkib NSTP
SITI Sarah Raisuddin. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Siti Sarah Raisuddin, 34, mengakui semakin selesa dengan imej bertudung dan memilih gaya turban ketika membuat persembahan.

Dia juga mengakui perasaan itu muncul sejak dia menunaikan umrah, namun ingin terus belajar dan berisitiqomah.

"Sejak pulang dari Umrah pada 27 Mei lalu, rasa rasa selesa untuk memakai tudung kalau keluar rumah. Kalau untuk persembahan, saya selesa memakai turban," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi yang terkenal dengan rambut ikal mayang itu juga mengakui tidak ada masalah untuknya membiasakan diri.

"Kalau sebelum ini, untuk pakai monitor telinga tak jadi masalah ketika belum bertudung.

"Sejujurnya, selepas bertudung, pada awalnya agak kekok kerana saya perlu pakai monitor telinga di dalam tudung atau hijab.

"Tapi ketika buat persembahan di konsert mini semalam, ada penata gaya yang membantu dan saya selesa," katanya.

Sarah juga meminta peminat sentiasa mendoakannya supaya dia lebih berisitiqomah.

"Beri saya masa untuk saya belajar dan biasakan diri. Kalau benda yang saya mula suka, saya akan buat perlahan-lahan," katanya.

Suaminya, pelakon dan pelawak, Shuib, juga bersyukur dengan perubahan isterinya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira kerana mampu membawa dia ke satu fasa berbeza.

"Seronok juga saya tengok penampilannya sekarang dan semoga perubahan ini membawa kebaikan kepadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 12:41 PM